Am 22/07/2026 06:42 PM

Pelantikan Timbalan Exco Perkukuh Strategi Kerja Berpasukan, Perkasa Pendidikan Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelantikan Timbalan Exco Perkukuh Strategi Kerja Berpasukan, Perkasa Pendidikan Johor
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar dengan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Johor yang baharu pada sidang media pengumuman barisan timbalan pengerusi jawatankuasa itu di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. (Dari kiri) Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chan San San, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya, Chua Jian Boon, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Datuk Mohamad Najib Samuri, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Mohd Youzaimi Yusof, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zaidi Japar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Sahrihan Jani, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Syed Hussein Syed Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Anuar Abd Manap dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, V. Rugendran. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

ISKANDAR PUTERI, 22 Julai (Bernama) -- Pelantikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mampu memperkukuh strategi kerja berpasukan serta memudahkan pengagihan tugas untuk mendekati rakyat dengan lebih meluas.

Pengerusi Jawatankuasa berkenaan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata langkah pentadbiran tersebut membolehkan pelbagai agensi serta inisiatif di bawah portfolio berkenaan diuruskan secara teratur menerusi pendekatan kerja berpasukan.

"Dengan adanya timbalan, ia memudahkan kita mengagihkan tugas untuk bekerja sebagai satu pasukan, dan kita boleh mengagihkan beberapa tugasan supaya lebih ramai lagi kita dapat berjumpa serta mendengar untuk menguatkan pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat dan Aspirasi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama Ketua Jabatan dan Agensi di Pejabat Johor Talent Development Council (JTDC) di Menara Iskandar Investment Berhad (IIB), Kota Iskandar hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan V. Rugendran.

Selain itu, beliau turut memaklumkan telah menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pertama yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, pagi tadi.

Sementara itu, Dr Muhammad Naqib berkata sektor pendidikan kekal sebagai tunjang utama gerak kerjanya dalam melahirkan generasi anak bangsa Johor yang berdaya tahan bagi menghadapi masa depan yang mencabar.

Beliau berkata tumpuan khusus akan diberikan dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan termasuk pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor dan JTDC yang memerlukan perhatian serta usaha pengembangan berterusan.

Pada masa sama, beliau optimis bahawa pengalaman luas yang dimiliki barisan ketua agensi dan pengarah di bawah portfolio terbabit akan memacu kerja berpasukan dengan lebih berkesan, sekali gus membawa impak positif kepada rakyat negeri itu.

Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri bagi memperkukuh jentera pentadbiran dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

-- BERNAMA