Realisasikan Manifesto, Agenda Maju Johor 2030 Antara Tekad Exco Baharu Dilantik
JOHOR BAHRU, 18 Julai (Bernama) -- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang baharu dilantik bertekad untuk merealisasikan manifesto yang dijanjikan serta agenda Maju Johor 2030 demi memastikan setiap hasil pembangunan terus dirasai seluruh Bangsa Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han yang kembali diberi kepercayaan memegang portfolio itu menegaskan bahawa baki empat tahun sebelum menjelang 2030 merupakan fasa kritikal untuk merealisasikan agenda itu termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
Beliau optimis agenda berkenaan mampu dicapai memandangkan negeri itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan bagi dua tahun berturut-turut.
"Empat tahun akan datang kita kena pastikan (pembangunan) Johor bergerak dengan lebih pantas.
"Apa yang telahpun dilaksanakan, kita teruskan, dan jika ada yang belum memuaskan atau kekurangan, kita tambah baik untuk transformasi negeri ini ke arah kemajuan yang lebih baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata agenda Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan terus dipacu dengan sasaran 30,000 unit rumah berjaya diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan kepada kesinambungan insentif Rumah Kasih Johor, Rumah Transit Bangsa Johor dan merealisasikan semua manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
“Bagi memastikan inisiatif ini memberikan impak kepada rakyat, sudah tentu di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, kita sememangnya ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan indikator ini akan disemak setiap tiga bulan (suku tahun). Insya-Allah kita akan lakukan dan penuhi semua manifesto secara berfasa,” katanya yang turut memegang portfolio sama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali pula yang pertama kali dilantik sebagai Exco berhasrat untuk memperkukuh sistem penyampaian maklumat kerajaan serta memperkasakan inisiatif pendidikan di negeri itu.
"Insya-Allah, ini satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dan bidang baharu bagi saya, sebab latar belakang saya sebelum ini dalam bidang kesihatan. Insya-Allah saya akan berusaha sehabis baik untuk melaksanakan tugas ini," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya P.Pannir Selvam pula berkata tumpuan beliau adalah untuk memperkasakan agenda perpaduan berteraskan konsep Bangsa Johor, di samping menghidupkan semula program warisan lama untuk generasi muda.
"Fokus saya adalah mengetengahkan semula identiti Bangsa Johor serta memelihara kebudayaan dan warisan kita agar terus dikenali dan dihayati oleh anak-anak sekolah dan generasi akan datang," katanya yang juga pertama kali dilantik sebagai Exco.
Barisan Nasional (BN) Johor menggariskan 63 tekad berteraskan enam Teras Maju Johor bagi mengekalkan kestabilan dan meneruskan momentum kemajuan negeri sebagai manifesto PRN Johor Ke-16.
Manifesto bertemakan "Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan" itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir serta rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang empat tahun lepas.
Terdahulu, barisan Exco Johor bagi penggal baharu menyaksikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan, selain empat muka baharu dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.
Kesemua 10 ADUN itu mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
--BERNAMA