Politik 15/07/2026 05:18 PM

Kekal Enam Penggal Bukan Bererti Tolak Muka Baharu - Samsolbari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kekal Enam Penggal Bukan Bererti Tolak Muka Baharu - Samsolbari
Kredit: FB - Ayer Hitam Kini

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 15 Julai (Bernama) -- Kejayaan Datuk Samsolbari Jamali mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang bagi penggal keenam berturut-turut membuktikan bahawa penerimaan rakyat terhadap seseorang pemimpin tidak ditentukan oleh faktor usia atau status muka lama semata-mata.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berusia 66 tahun yang merupakan calon tertua yang menang pada Plilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, berkata kemampuan untuk terus relevan, berkhidmat dan memahami aspirasi pelbagai generasi menjadi ukuran utama, tanpa menidakkan keperluan mengetengahkan muka baharu.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mencipta sejarah pada PRN Johor ke-16 apabila memperoleh 17,374 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 14,679 undi.

Angka berkenaan meningkat daripada majoriti 5,846 undi pada PRN 2022, sekali gus mempertahankan kerusi yang terletak di bawah Parlimen Ayer Hitam itu yang disandang wakil Barisan Nasional (BN) tersebut sejak 2004.

Samsolbari berkata beliau sentiasa menyokong proses peremajaan kepimpinan, namun pemilihan calon tidak seharusnya hanya bersandarkan faktor umur atau tempoh perkhidmatan semata-mata.

“Saya setuju dengan proses peremajaan kerana saya dahulu juga bermula sebagai pemimpin muda. Tetapi perkara paling penting ialah kemampuan seseorang untuk terus kekal relevan.

“Orang tua perlu memahami aspirasi orang muda dan orang muda juga perlu memahami aspirasi orang tua. Yang penting seseorang pemimpin itu diterima oleh orang muda, orang tua, lelaki, wanita serta semua lapisan masyarakat,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata bagi mendekati golongan muda, pemimpin perlu berani berada di gelanggang sepak takraw, menyertai komuniti sukan permotoran, bertemu pemain biliard dan snuker serta menyertai pelbagai aktiviti belia supaya tidak dilihat asing daripada generasi berkenaan.

“Walaupun kita berumur, jangan sampai dilihat asing oleh orang muda. Kita perlu berada dalam kelompok mereka dan memahami dunia mereka,” katanya.

Mengulas pembangunan Semarang, beliau berkata fokusnya kekal berteraskan pendekatan "Membangun Potensi, Memperkemas Prasarana", dengan memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi, pertanian, keusahawanan, belia serta penyediaan kemudahan asas luar bandar.

Beliau berkata jika dahulu, keutamaan penduduk tertumpu pada pembinaan jalan raya, parit, jambatan, balai raya, masjid dan surau, kini keperluan mereka berubah kepada penyediaan lampu jalan, capaian Internet, kemudahan untuk keluarga muda serta prasarana yang lebih berkualiti.

“Pembangunan ialah proses yang berterusan. Jalan yang dahulu besar kini menjadi sempit, kemudahan yang dahulu baharu semakin lama dan jumlah penduduk pula semakin bertambah.

“Dulu, rakyat minta jalan, parit dan jambatan. Hari ini, mereka memerlukan lampu jalan, Internet dan kemudahan yang seiring dengan perubahan kehidupan,” kata bekas Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Negara itu.

Beliau berkata peningkatan jumlah rumah di kampung juga menunjukkan semakin ramai anak muda memilih untuk terus tinggal atau kembali menetap di Semarang apabila kemudahan asas seperti air, elektrik, telekomunikasi dan jalan raya semakin lengkap.

Perubahan itu, katanya, menuntut kerajaan melihat keperluan baharu termasuk penyediaan pusat asuhan kanak-kanak, kemudahan pendidikan dan sokongan kepada keluarga muda tanpa perlu menunggu permintaan daripada rakyat.

Mengulas tentang masa depannya, Samsolbari berkata penggal keenam itu akan menjadi penggal terakhirnya sebagai wakil rakyat.

“Saya sudah maklumkan di kawasan bahawa inilah penggal terakhir saya. Bukan bermaksud saya akan berhenti berkhidmat kepada masyarakat, tetapi kita perlu tahu masa yang sesuai untuk memberikan ruang kepada orang lain,” katanya.

-- BERNAMA