KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) muncul antara pemenang utama beberapa kategori penting bagi Anugerah Perhubungan Pelabur (IR) Bursa Malaysia 2026 yang julung kali diadakan.
Institusi kewangan itu meraih anugerah Syarikat Terbaik IR (Keseluruhan), Pelaporan Kewangan Terbaik dan Syarikat Bermodal Besar Terbaik IR bagi Perkhidmata Kewangan manakala Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Datuk Seri Khairussaleh Ramli dipilih sebagai CEO Terbaik dalam IR.
Tenaga Nasional Bhd pula meraih Anugerah Komunikasi Kelestarian.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia memaklumkan majlis penyampaian yang diadakan pada 4 September lepas menyaksikan 32 pemenang diiktiraf menerusi lapan kategori utama.
Anugerah itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dalam aspek hubungan pelabur selain dapat menggalakkan tahap lebih tinggi dari segi ketelusan, penglibatan dan komunikasi pasaran dalam kalangan syarikat senaraian awam (PLC).
Pemilihan pemenang itu juga ditentukan menerusi penilaian berasaskan pasaran yang melibatkan pelabur tempatan dan antarabangsa serta disokong oleh pengesahan bebas dan penelitian secara wajar oleh Bursa Malaysia.
Berucap pada majlis itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican menyifatkan aspek hubungan pelabur yang berkesan sebagai elemen penting dalam memperkukuh kualiti dan daya saing syarikat-syarikat senaraian di Malaysia.
“Menerusi komunikasi terbuka dan secara konsisten dengan pelabur, syarikat PLC ini dapat membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat selain memaparkan komitmen masing-masing terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Ketika kita terus meningkatkan daya saing dan kualiti syarikat senaraian Malaysia, elemen libat urus pelabur yang berkesan akan kekal sebagai pengupaya dalam pembentukan nilai jangka panjang serta pertumbuhan pasaran yang mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata wujud peluang besar dalam usaha memperkukuh keupayaan perhubungan pelabur yang baik di serata pasaran.
Beliau berkata sejajar dengan jangkaan syarikat, pasaran serta pelabur yang lebih sofistikated, aspek perhubungan pelabur yang berkesan itu bukan setakat mengenai prestasi syarikat sebaliknya dapat membantu pelabur mengenal pasti prospek kedudukan sesebuah syarikat di masa depan.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia memaklumkan hanya 32 peratus daripada syarikat senaraian mempunyai peranan dalaman IR yang khusus manakala 17 peratus lain bertindak menggunakan khidmat syarikat luar bagi tujuan itu dan 51 peratus lain beroperasi tanpa sebarang struktur IR yang rasmi.
-- BERNAMA