12/07/2026 12:25 AM

PH Perkukuh Strategi Susulan Keputusan PRN Johor - Amirudin

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan memperkukuh strategi dan gerak kerja jenteranya susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan akan datang.

Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu akan meneliti secara menyeluruh faktor yang mempengaruhi keputusan PRN Johor, termasuk pola pemindahan sokongan pengundi serta tahap penerimaan dalam kalangan pengundi muda.

Beliau yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap keputusan pilihan raya itu kerana beberapa kerusi masih belum diputuskan.

"Kita perlu semak kembali setiap saluran bagi memastikan angka diperoleh tepat. Malam ini masih terlalu awal dan masih ada beberapa kerusi belum disahkan. Berikan kami sedikit masa, mungkin sekitar seminggu, namun kami perlu membuat persiapan untuk Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan PH di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.

Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16 setakat 10.32 malam ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata keputusan itu adalah suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan, Amirudin berkata PH yakin mampu mempertahankan pentadbiran negeri itu berdasarkan rekod prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Jangkaan kita...kita hendak mengekalkan pentadbiran di bawah PH. Kita ada rekod pencapaian yang bagus di Negeri Sembilan dan kita berkeyakinan Datuk Seri Aminuddin akan mengetuai ataupun menjadi penerus kepada keupayaan kita di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai pemilihan calon bagi PRN Negeri Sembilan akan diadakan esok sebagai langkah memperkemas strategi dan memastikan calon yang diketengahkan memenuhi kehendak pengundi setempat sebelum senarai penuh calon PH diumumkan secara rasmi pada 14 Julai ini.

Sementara itu, Amirudin memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan politik di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan berikutan komitmen yang telah dipersetujui oleh semua parti komponen untuk mengekalkan pentadbiran sehingga tamat penggal.

“Saya fikir semua pihak di peringkat Persekutuan telahpun membuat janji untuk memastikan Kerajaan Persekutuan kekal utuh bagi meneruskan pentadbiran sehingga ke akhir penggal, sehinggalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membubarkan Parlimen. Itu juga janji daripada BN,” katanya.

-- BERNAMA