11/07/2026 07:25 PM

PRN Johor: Peti Undi Mula Tiba Di Pusat Penjumlahan Undi

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Peti undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dari beberapa pusat mengundi mula tiba di pusat penjumlahan undi petang ini.

Setakat 6 petang, tiga peti undi terawal, iaitu dari Pulau Sibu, Pulau Besar dan Pulau Pemanggil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing.

Selain itu, dua peti undi pos bagi DUN Perling dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada 6.38 petang.

Sementara itu, dua peti undi pos bagi DUN Kempas dibawa masuk oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Cahaya TNB Kempas pada 6.47 petang.

Kesemua 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat pada 6 petang tadi. 

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA