Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- China menyumbang hampir satu pertiga daripada RM10.3 bilion dalam kerjasama strategik dan pelaburan berpotensi yang diperoleh pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 baru-baru ini.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Khalid Ibrahim berkata 17 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM3.2 bilion telah ditandatangani antara pihak Malaysia dan China.
MoU itu merangkumi buah-buahan tropika premium seperti durian, nangka, nanas, manggis dan kelapa muda segar.
“Ia juga meliputi produk makanan laut dan perikanan gred premium, teknologi pertanian pintar termaju, baja dan racun perosak berkualiti tinggi serta sarang burung premium yang boleh dimakan dalam bentuk mentah, sarang burung tidak bersih dan sarang burung bersih yang diproses serta produk kopi istimewa.
“Semua produk ini mewakili eksport agromakanan utama Malaysia ke pasaran China, disokong oleh logistik rantaian sejuk bersepadu untuk memastikan kesegaran dan kualiti optimum semasa ketibaan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.
Sementara itu, Setiausaha Pertama (Pertanian) di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Siti Zurianah Ismail berkata seramai 80 delegasi dari China menghadiri MAHA 2026, menandakan penyertaan kedua dan terbesar negara itu sejak 2024.
"Mereka terdiri daripada ahli perniagaan, persatuan pemborong, rakan kongsi berpotensi dan pelabur," katanya kepada Bernama pada Isnin sebelum terbang pulang ke Beijing.
Siti Zurianah berkata China juga menjadi tuan rumah dua pavilion di MAHA 2026 yang mempamerkan lebih 100 produk.
Antara produk China yang menarik perhatian pengunjung ialah madu, dendeng lembu halal, sumsum tulang yak, teknologi dron dan makanan tambahan kesihatan.
Beliau berkata penyertaan China yang kukuh mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam sektor agromakanan Malaysia, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan peluang pasaran.
MAHA 2026, bertemakan “Mewujudkan Nilai untuk Keterjaminan Makanan”, berlangsung di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 Sept dan mencatatkan kira-kira 4.3 juta pengunjung, termasuk 1.7 juta belia, setakat 5 Sept.
Pada majlis penutupannya, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MAHA 2026 telah memperoleh kerjasama strategik dan potensi pelaburan bernilai kira-kira RM10.3 bilion, melepasi sasaran RM8 bilion.
-- BERNAMA