JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Kekurangan fizikal dan cabaran pembelajaran tidak menjadi penghalang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Kehadiran golongan istimewa berkenaan di beberapa pusat mengundi di seluruh Johor bukan sahaja mencerminkan kematangan demokrasi, malah membuktikan setiap undi sangat berharga tanpa mengira latar belakang fizikal.
Di MERSING, kuasa tular kempen di media sosial menjadi antara faktor utama yang mendorong pengundi muda OKU Fatin Farhan Fauzan Zainuddin, 27, untuk keluar mengundi buat kali kedua.
Pereka produk dari Kampung Makam yang juga OKU fizikal itu berkata pendedahan meluas menerusi platform seperti TikTok memudahkan golongan muda mendapatkan maklumat, sekali gus meningkatkan keterujaan mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi.
“Banyak kempen dan maklumat saya tengok di media sosial, terutama TikTok. Jadi, saya lebih berminat untuk mengikuti perkembangan pilihan raya dan keluar mengundi berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Pantai.
Fatin Farhan turut memuji kemudahan mesra OKU yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan berharap agar peluang pekerjaan serta keterlibatan golongan itu dalam aktiviti kemasyarakatan terus diperkasa pada masa hadapan.
Sementara itu, di MUAR, kecekalan seorang ibu membantu anak istimewanya merasai pengalaman sebagai pengundi menjadi tumpuan di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Limbong, Parit Jawa.
Rosidah Ahmad berkata beliau mengejutkan anaknya Muhammad Taufeq Zamri, 22, yang mengalami masalah pembelajaran seawal pagi demi memastikan pemuda itu tidak terlepas peluang membuat pilihan sebagai warga Johor bagi kerusi DUN Sungai Balang.
“Sebelum datang pun, saya ada ajar juga macam mana hendak buat nanti walaupun ini adalah kali kedua dia mengundi. Alhamdulillah dia seronok, malah teruja datang mengundi, terutama apabila jarinya dicelup dakwat khas mengundi,” katanya kepada Bernama.
Rosidah yang menetap di Parit Tarom berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang membawa anaknya mengundi walaupun hujan lebat sejak kira-kira 5 pagi.
Di KULAI pula, keadaan palsi serebrum (CP) yang dialami Lia Isabella Iskandar Nain, 20, tidak menjadi tembok penghalang untuk mengundi buat kali pertama.
Penjaganya, Salihaton Awang, 52, berkata anak muda yang mesra dengan panggilan Bella itu menunjukkan semangat luar biasa sebaik melihat deretan bendera parti politik di sekitar kawasan kediamannya di Taman Muhibbah.
“Sejak awal lagi Bella memang bersemangat hendak mengundi. Dari rumah lagi dia sudah bersiap kerana tidak sabar untuk datang ke pusat mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
“Ibunya minta saya membawa Bella ke sini untuk mengundi kerana ibunya bekerja. Saya pula akan mengundi sebentar lagi,” katanya yang tinggal di Taman Muhibbah, Kulai.
Semangat kental itu turut dizahirkan oleh warga emas, Ong Pung Kee, 70, yang kudung sebelah tangan untuk hadir melunaskan amanahnya di Sekolah Agama Jalan Dahlia, Johor Bahru.
Proses pengundian yang melibatkan 2.6 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari tengah malam tadi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA