PRN Johor: Belia Pertama Kali Mengundi Mahu Wakil Rakyat Buat Kerja, Tunai Janji
JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Golongan belia yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini menyuarakan pandangan untuk melihat wakil rakyat yang menepati janji dan buat kerja.
Mahasiswa Diploma Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak Ahmad Irfan Harith Ahmad Izwan, 19, berkata kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai warganegara mendorongnya bergerak awal ke pusat mengundi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Beliau mengakui tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk mengundi setelah meneliti dan menilai sendiri prestasi setiap calon sepanjang tempoh berkempen.
“Saya mahu wakil rakyat yang boleh memudahkan urusan penduduk setempat, menepati janji dan boleh nampak beliau buat kerja. Masa berkempen saya nampak (beberapa calon ada ciri-ciri),” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini hari ini.
Jolin Tan Pei En, 20, pula menegaskan warna parti bukan lagi ukuran utama bagi generasi muda, sebaliknya komitmen dan integriti untuk bekerja demi rakyat yang menjadi taruhan.
“Tidak kira parti apa pun, yang penting (pemimpin itu) buat kerja dan rajin,” katanya yang berniaga pakaian secara dalam talian selepas selesai mengundi di SMK Taman Molek bagi DUN Johor Jaya.
Nada harapan turut dikongsikan Filzah Maisara Mohd Fuad, 19, yang selesai menunaikan kewajipannya di Pusat Mengundi Sekolah Agama Taman Setia Indah di sini.
Pelajar Diploma Kulinari Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor itu mengakui perasaan teruja tidak dapat disembunyikan apabila melihat nama sendiri tersenarai dalam daftar pemilih buat kali pertama.
“Rasa teruja dan penuh harapan, semoga pemimpin yang saya pilih benar-benar amanah, ikhlas berkhidmat dan mampu memajukan negeri Johor,” katanya yang mengundi bagi DUN Puteri Wangsa.
Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran bagi PRN Johor dibuka serentak bermula 8 pagi ini bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu untuk penggal akan datang.
Proses pengundian yang melibatkan 2.6 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Lebih 40 Peratus Keluar Undi Setakat 1 Tengah Hari
- 77 Pelatih PLKN Diberi Kelonggaran Tunai Tanggungjawab Mengundi
- PRN Johor: 90 Laporan Polis Diterima, Tidak Libatkan Calon Atau Parti Bertanding - KPN
- Sektor Kreatif Indonesia Manfaatkan AI, Buka Peluang Kerjasama Dengan Selangor
- Tiga Lelaki Bersenjata Parang Samun Kedai Runcit, Larikan Barang Kemas