KDN Fokus Perkasa Infrastruktur Keselamatan, Perkhidmatan Awam Di Johor - Saifuddin Nasution
JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memberikan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Johor bagi memperkukuh infrastruktur keselamatan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam di negeri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Johor adalah negeri yang penting di selatan tanah air memandangkan peranannya sebagai antara nadi utama keselamatan, perkhidmatan awam serta pintu masuk negara.
Beliau berkata projek pembangunan itu antaranya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia.
"Bagi PDRM, ia merangkumi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, perolehan tanah bagi IPD Pengerang serta kerja pembaikan kuarters dan lif premis.
"Selain itu, penambahbaikan kemudahan Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) turut menjadi keutamaan bagi memastikan perkhidmatan di sempadan negara lebih cekap, tersusun dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata komitmen KDN turut merangkumi pembinaan Pejabat JPN Daerah Batu Pahat, naik taraf sistem asas di Penjara Kluang serta Penjara Simpang Renggam, selain pembangunan semula pejabat serta pusat rawatan AADK di negeri itu.
Beliau berkata projek naik taraf jeti dan bangunan di Abu Bakar Maritime Base, membuktikan komitmen kementerian itu untuk memastikan kemudahan anggota dan perkhidmatan rakyat terus diperkasa.
“KDN akan terus memastikan setiap peruntukan dan projek yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat selain memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan.
"Kementerian juga akan sentiasa serta menyokong pembangunan Johor sebagai negeri yang selamat, cekap dan sejahtera. KDN komited memperkasa Johor, demi rakyat, demi anggota, demi negara," katanya.
Esok, sebanyak 2.7 juta pemilih berdaftar dijadualkan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memilih 56 wakil rakyat .
Bagi mendapatkan berita terkini berhubung PRN Johor ke-16, orang ramai boleh melayari portal khas di https://prn.bernama.com/johor.
--BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Peraturan Baharu Bas Ekspres Tidak Libatkan Kenaikan Tambang - APAD
- PRN Johor: SPR Giat Jalankan Persiapan, Pastikan Proses Pengundian Berjalan Lancar
- Powerlifting Para Perlu Strategi Hadapi Format Baharu Glasgow 2026
- IPR Insan Terus Diperkasakan, Beri Manfaat Kepada Usahawan B40 - Akmal Nasrullah
- Danial Amier Rekrut Terbaharu Terengganu FC