PRN Johor: Hujan, Ribut Petir Diramal Landa Beberapa Kawasan Pagi Esok - MetMalaysia
JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Johor esok ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Berdasarkan ramalan cuaca yang dipaparkan menerusi laman rasmi MetMalaysia hari ini, hujan diramalkan berlaku di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Muar, Pontian dan Tangkak pada sebelah pagi.
Bagaimanapun, berkemungkinan tiada hujan di enam daerah berkenaan pada sebelah petang dan malam.
Sementara itu, daerah Kluang, Kota Tinggi dan Segamat dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang, manakala keadaan cuaca sama diramalkan melanda Mersing bermula dari petang hingga malam.
Suhu minimum di kebanyakan daerah dianggarkan 23 darjah Celsius, manakala suhu maksimum antara 33 hingga 34 darjah Celsius.
Esok, sebanyak 2.7 juta pemilih berdaftar dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tamat tempoh berkempen selama 14 hari.
Sejumlah 1,076 pusat mengundi biasa membabitkan 4,889 saluran akan dibuka bermula pada 8 pagi esok, dan dijadualkan ditutup secara berperingkat antara 11 pagi hingga 6 petang.
Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pemilih agar membuat semakan lokasi pusat mengundi dan saluran dengan lebih awal bagi melancarkan proses pengundian.
PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, manakala Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon di 33 kerusi.
Turut bertanding ialah Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia, masing-masing dengan seorang calon, manakala calon Bebas sebanyak enam orang.
Untuk mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala AFF Wanita: Malayan Tigress Ikat Laos 1-1
- Imam Masjid Nabawi Ingatkan Bahaya Ketagihan Skrin, Seru Rekreasi Secara Seimbang
- Abang Johari Mahu Sibu Jadi Bandar Pintar Rendah Karbon
- Anwar Kesal Serangan Sanusi, Tegas Tidak Pinggir Pembangunan Kedah
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah