10/07/2026 07:59 AM

Mbappe Tebus Kegagalan Sepakan Penalti, Bantu Perancis Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kylian Mbappe berjaya menebus kegagalannya untuk menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama, selepas golnya pada separuh masa kedua bantu juara dua kali Perancis, menewaskan Maghribi 2-0 dalam aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Boston, Amerika Syarikat, hari ini.

Ousmane Dembele kemudiannya menambah jaringan kedua Perancis, sekali gus mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir, yang menyaksikan pasukan itu bakal berdepan sama ada Sepanyol atau Belgium, yang akan bertemu esok.

Perlawanan itu mengulangi aksi separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022, manakala kedua-dua negara sebelum ini telahpun bertemu enam kali, dengan Perancis memenangi empat daripada pertemuan tersebut.

Perancis memulakan permainan dengan cemerlang dan hampir mendahului seawal minit keempat, apabila gerakan tersusun yang kemas berakhir dengan Mbappe melepaskan percubaan pertama perlawanan. Bagaimanapun, penjaga gol Maghribi Yassine Bounou, berjaya menepis bola keluar untuk sepakan penjuru.

Menerusi sepakan penjuru pendek itu, Dayot Upamecano berjaya menerima hantaran di dalam kotak penalti, namun tandukan jarak dekatnya sekali lagi berjaya diselamatkan oleh Bounou.

Perancis mendapat peluang keemasan pada minit ke-28, selepas Noussair Mazraoui menjatuhkan Mbappe di dalam kotak penalti, sekali gus mendorong pengadil Facundo Tello, menghadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Bounou sekali lagi muncul penyelamat Maghribi apabila melayangkan badan untuk menafikan sepakan penalti Mbappe, sekali gus memastikan kedudukan kekal terikat.

Tekanan berterusan Perancis hampir membuahkan hasil pada minit ke-35, apabila Desire Doue melakukan larian solo yang mengagumkan menembusi benteng pertahanan Maghribi. Namun, percubaan rendahnya berjaya ditepis Bounou.

Skuad Les Bleus (The Blues) sekali lagi hampir membuka jaringan pada masa kecederaan babak pertama, apabila Lucas Digne melepaskan rembatan kencang dari jarak jauh yang melencong sebelum menggegarkan palang gol, ketika Maghribi terus bertahan daripada asakan bertali arus juara dunia 2018 itu.

Mbappe akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-60, menerusi rembatan padu yang gagal dicapai Bounou, sekaligus membolehkan Perancis mendahului 1-0.

Jaringan itu merupakan gol kelapan Mbappe dalam kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus menyaksikan beliau menyamai bintang Argentina Lionel Messi, dalam saingan merebut Kasut Emas, dengan penyerang Norway Erling Haaland, mengekori rapat menerusi tujuh gol.

Perancis menggandakan kelebihan enam minit kemudian menerusi Dembele, yang menyempurnakan rembatan rendah ke penjuru kanan bawah gawang. Biarpun Bounou sempat menyentuh bola, beliau gagal menghalangnya daripada menerjah jaring.

Mbappe kemudian menerima rawatan di atas padang, namun kelihatan tidak mengalami kecederaan serius, apabila meninggalkan padang sambil tersenyum dan memberikan tepukan tangan kepada rakan sepasukannya sebelum digantikan oleh Jean-Philippe Mateta pada minit ke-77.

Sementara itu, aksi suku akhir lain akan menyaksikan Norway berdepan England, manakala Argentina bertemu Switzerland.

-- BERNAMA