PRN Johor: SPR Minta Majikan Beri Tempoh Munasabah Untuk Pekerja Keluar Mengundi
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua majikan memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar dan layak sebagai pemilih untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kekhuatiran orang ramai berhubung kemungkinan terdapat majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka untuk keluar mengundi.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya mematuhi Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] bagi memastikan pekerja, yang merupakan pemilih berdaftar, dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
"Majikan tidak dibenarkan membuat sebarang potongan gaji atau saraan lain, mahupun mengenakan apa-apa penalti terhadap pekerja atas sebab mereka menunaikan tanggungjawab mengundi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan memberikan tempoh munasabah atau menghalang pekerja daripada mengundi adalah dianggap melakukan suatu kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan, majikan terbabit boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun.
Sehubungan itu, beliau berharap semua majikan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar sekali gus menggalakkan penyertaan pengundi yang tinggi dalam pilihan raya berkenaan.
Sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF