09/07/2026 02:29 PM

PRN Johor: "Magis" Kempen Bersemuka Tawan Hati Warga Emas, Media Sosial Jadi Pelengkap

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Landskap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini dibanjiri kandungan kreatif dan perang saraf digital, namun pendekatan kempen secara fizikal atau bersemuka terbukti masih memiliki 'magis' tersendiri dalam menambat hati golongan pengundi, khususnya warga emas.

Tinjauan Bernama mendapati biarpun trend kempen beralih ke platform popular seperti TikTok dan Facebook, kebanyakan pengundi veteran tetap mendambakan kehadiran fizikal calon sebagai kayu ukur keikhlasan, selain mahu merasai sendiri 'aura' serta personaliti bakal wakil rakyat mereka.

Bagaimanapun, golongan itu tidak menafikan keberkesanan kempen media sosial yang kini berfungsi sebagai medium pelengkap maklumat penting, terutama bagi mereka yang berdepan kekangan masa dan faktor kesihatan untuk ke lapangan.

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, A. Chandra, 70, berkata interaksi langsung di lapangan memberikan kepuasan yang tidak mampu digantikan dengan sekadar menonton skrin telefon di rumah.

"Datang sendiri ke tapak kempen lagilah seronok, 'vibe' bila bersemuka itu lebih puas. Kalau setakat tengok 'live' di rumah rasa kurang menyengat. Di sini kita boleh bertemu dan melihat sendiri wakil dari seluruh negara," kata pesara guru itu kepada Bernama.

Pandangan senada dikongsi oleh suri rumah, Maimunah Ismail, 73, pengundi di DUN Sedeli yang menganggap kaedah 'turun padang' sebagai platform terbaik untuk mengenali karakter sebenar calon secara lebih dekat.

“Saya lebih suka turun padang dan mengikuti kempen, apa yang ingin disampaikan mereka lebih mudah sampai. Tetapi apabila di rumah, saya tetap menonton di telefon bimbit (media sosial) sambil buat kerja seperti melipat kain dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, peneroka, Saadon Mohamad, 72, mengakui penyampaian maklumat politik secara dalam talian kini sangat meluas dan mudah diakses, namun ia tetap tidak dapat menandingi semangat pilihan raya yang diterjemahkan melalui kempen bersemuka.

Pengundi DUN Kempas, Fairuz Saif, 59, menepis tanggapan warga emas tidak celik teknologi, namun menegaskan bahawa keberkesanan kempen digital amat bergantung kepada kaedah penyampaian jentera parti politik.

"Kempen digital perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah serta kandungan yang ringkas supaya senang difahami oleh semua lapisan umur. Bagaimanapun, kempen bersemuka lebih berkesan kerana calon boleh menjawab soalan secara terus serta meningkatkan keyakinan pengundi," katanya.

Pesara kerajaan, M. Sivathramani, 73, yang kini berdepan kekangan pergerakan akibat kecederaan fizikal pula berkata kempen dalam talian memudahkan beliau mengikuti perkembangan politik semasa tanpa perlu bersesak di lokasi ceramah.

"Keadaan fizikal saya agak terhad sekarang. Jadi, inisiatif parti politik menggunakan platform seperti TikTok sangat membantu. Namun, jika ada ruang dan peluang, saya tetap mahu turun padang bertemu calon bertanding," kata pengundi DUN Perling itu.

Bagi pengusaha kedai runcit, Lee Lian Chen, 58, kekangan masa menguruskan perniagaan mendorongnya meneliti perancangan serta manifesto calon menerusi media sosial terlebih dahulu sebelum membuat penilaian akhir di lapangan.

"Apa yang penting adalah perancangan calon mesti diterjemahkan dengan pelaksanaan, jangan sekadar janji kosong. Kita hanya mengundi lima tahun sekali, jadi rancangan kerja calon itu yang paling utama," katanya yang merupakan pengundi di DUN Bukit Permai.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Nazreena Mohammed Yasin berpendapat, landskap politik hari ini menunjukkan kaedah fizikal dan digital bukan lagi bersaing, sebaliknya membentuk simbiosis dalam menyampaikan mesej kepada pengundi.

Beliau berkata meskipun media sosial menjadi medium utama mendapatkan maklumat, kempen fizikal tetap mempunyai nilai sentimental kerana memberi peluang kepada pengundi merasai sendiri 'demam' pilihan raya.

​"Bagaimanapun, semakin ramai warga emas menggunakan media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp untuk mengikuti perkembangan politik, menonton siaran langsung ceramah serta mendapatkan maklumat tambahan," katanya.

Nazreena menjelaskan corak pencarian maklumat politik turut berbeza mengikut latar belakang dan generasi, dengan sebahagian pengundi veteran masih merujuk media tradisional seperti akhbar dan televisyen kerana dianggap lebih akrab serta dipercayai.

Beliau berkata bagi golongan yang bekerja pula, kekangan masa, komitmen tugas dan faktor pergerakan menjadikan media sosial sebagai medium yang lebih praktikal untuk mengikuti perkembangan kempen tanpa perlu hadir ke lokasi ceramah.

Beliau menyimpulkan bahawa pengundi masa kini lebih cenderung mengamalkan pendekatan hibrid iaitu menggabungkan pengalaman di lapangan dengan maklumat di media sosial sebelum membuat keputusan muktamad di peti undi.

Sebanyak 2.7 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16 untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang, Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA