PRN: Penduduk Pulau Tinggi Tagih Komitmen Wakil Rakyat Selesai Isu Jeti, Perumahan
Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenan
MERSING, 9 Julai (Bernama) -- Penduduk Kampung Pasir Panjang dan Kampung Tanjung Balang di Pulau Tinggi, di sini menaruh harapan agar wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti dapat menyelesaikan segera isu jeti usang serta perumahan nelayan.
Isu jeti Kampung Pasir Panjang dan bantuan perumahan buat nelayan B40 di Kampung Tanjung Balang menjadi antara masalah utama komuniti di pulau berkenaan yang mahukan pembelaan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rossana Hussin, 57, berkata permohonan untuk menaik taraf kedua-dua kemudahan itu telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Mersing pada Mac lepas dan setakat ini menerima maklum balas serta kerjasama positif.
Bagaimanapun, beliau berharap projek menaik taraf jeti di Kampung Pasir Panjang yang digunakan oleh pelancong dan nelayan tempatan itu dapat dipercepatkan memandangkan strukturnya yang telah uzur sejak 2017.
"Jeti itu sudah uzur sejak 2017 dan masih ada segelintir penduduk yang menggunakannya. Sementara menunggu proses seterusnya, kita sentiasa menasihati penduduk untuk mengutamakan keselamatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Pulau Tinggi mempunyai penduduk sekitar 150 orang yang mendiami dua kampung.
Rossana yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua kampung Pulau Tinggi sejak 2024, turut menyuarakan harapan agar bantuan membaik pulih rumah warga nelayan di Kampung Tanjung Balang diberi keutamaan oleh kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak.
"Rata-rata penduduk adalah nelayan B40. Ada yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah, dan ada juga keadaan rumah yang dibina masih belum siap sepenuhnya.
"Jadi, bantuan seumpama ini diharapkan dapat meringankan beban dan memberi keselesaan kepada mereka," katanya.
Beliau juga berharap bakal wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh serta pihak berkaitan dapat bertindak sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk pulau tersebut.
Sementara itu, penduduk, Mariam Mamat, 85, berharap wakil rakyat yang terpilih nanti dapat memberi tumpuan kepada usaha merancakkan semula aktiviti pelancongan di Pulau Tinggi bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.
“Dahulu penduduk di sini ramai tetapi banyak yang dapat pekerjaan di luar (semakin kurang orang di sini) selain dapat tanah rancangan Felda,” katanya.
Beliau yang dahulunya bergantung rezeki dengan menjual ubat-ubatan herba, mahu pulau tersebut kembali meriah bagi mengelakkan lebih ramai penduduk berhijrah keluar ke kawasan bandar atau tanah rancangan Felda.
Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Johor ke-16 Sabtu ini untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N33: TENGGAROH: 39,001
1. Muhamad Amerul Muhamad (PN-Bersatu)
2. Mohd Youzaimi Yusof (BN-UMNO)
3. Md Yusof Dawam (PH-PKR)
(2022: K. Raven Kumar : BN-MIC : Maj: 1,356)
Kata kunci
Berita terkini
- Bon Malaysia Jadi Pilihan Pelabur Asing, Catat Aliran Masuk RM4.9 Bilion Pada Jun - Kenanga IB
- Hakim Tarik Diri, Pendengaran Rayuan Zaid Ibrahim Dan Dua Peguam Ditangguh
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Lapan Negeri Hingga 7 Malam
- PM Anutin Optimis Sasaran Dagangan US$30 Bilion Thailand-Malaysia Dicapai Menjelang 2027
- Malaysia, Thailand Percepat Projek Sempadan, Sasar Perdagangan Bilateral USD30 Bilion Menjelang 2027