Chin Hin Rancang Projek RM3.60 Bilion Di Segitiga Emas
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) merancang membangunkan projek pembangunan bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.60 bilion di kawasan Segitiga Emas, Kuala Lumpur, melibatkan jumlah kos pembangunan (TDC) RM2.72 bilion.
Cadangan pembangunan yang merangkumi pangsapuri servis, hotel serta komponen peruncitan itu tertakluk kepada pelan pembangunan muktamad dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Projek berkenaan akan dilaksanakan berikutan cadangan pengambilalihan sebidang tanah pegangan bebas di Jalan Sultan Ismail daripada YNH Property Bhd pada harga RM455 juta.
CHGP dan YNH dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, menerusi perjanjian jual beli bersyarat, anak syarikat milik penuh YNH, YNH Land Sdn Bhd, dan anak syarikat CHGP, Chin Hin Property (JSI) Sdn Bhd, telah memeterai urusan pengambilalihan itu bagi membolehkan pembangunan projek mercu tanda berkenaan.
"Struktur urus niaga ini membolehkan kedua-dua kumpulan mencapai objektif strategik masing-masing. Ia memberi ruang kepada CHGP menerajui pembangunan tapak berkenaan dengan kawalan penuh terhadap pelaksanaannya, manakala YNH dapat merealisasikan nilai segera daripada aset utama yang telah lama dimiliki di samping mengekalkan pegangan sebanyak 10 peratus dalam pembangunan masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Pengerusi Eksekutif CHGP Datuk Chiau Haw Choon berkata peluang untuk memperoleh tapak pembangunan pegangan bebas berskala besar di lokasi strategik seperti Segitiga Emas Kuala Lumpur adalah amat jarang diperoleh.
"Cadangan pengambilalihan ini mengukuhkan bank tanah kami di koridor bandar yang mendapat permintaan tinggi, sekali gus selaras dengan strategi pertumbuhan kumpulan serta komitmen kami terhadap peluang pembangunan berkualiti tinggi," katanya.
Beliau berkata kumpulan itu akan melaksanakan projek berkenaan dengan pendekatan jangka panjang berteraskan pelaksanaan yang berdisiplin, perancangan yang teliti serta pengurusan modal yang bertanggungjawab bagi mewujudkan pembangunan yang menyumbang kepada landskap bandar Kuala Lumpur yang semakin berkembang, di samping menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan YNH Yu Kai Leun berkata urus niaga itu membolehkan syarikat menjana kecairan daripada aset strategik yang telah lama dimiliki, di samping terus menikmati potensi peningkatan nilainya menerusi pegangan yang dikekalkan.
"Urus niaga ini membolehkan kami menjana kecairan yang signifikan daripada aset utama, mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat serta mengekalkan penyertaan berterusan dalam potensi peningkatan nilai aset itu pada masa hadapan," katanya.
Cadangan urus niaga itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham CHGP dan YNH pada mesyuarat agung luar biasa masing-masing serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, dan disasarkan selesai pada separuh pertama 2027.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah
- Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK
- Pengecas Awam EV Cecah 6,416 Unit Setakat Mei 2026 - MITI
- PRN Johor: Anwar Terus Rancakkan Kempen Pakatan Harapan
- KPDN Serbu Kilang Sabun Pencuci Disyaki Guna Logo Halal Tidak Sah