Infomina Peroleh Kontrak JPJ RM21.12 Juta Untuk Perkhidmatan Sokongan Infrastruktur ICT
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Infomina Bhd memperoleh kontrak bernilai RM21.12 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi perkhidmatan penyelenggaraan serta sokongan teknikal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dalam satu kenyataan hari ini, Infomina menyatakan ia telah menandatangani surat setuju terima daripada jabatan itu untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi infrastruktur perkakasan ICT serta rangkaian JPJ merentasi lebih 170 cawangan di seluruh negara.
Infomina memaklumkan perkhidmatan itu juga termasuk unit perkhidmatan bergerak.
"Di bawah kontrak berkenaan, Infomina akan menyediakan perkhidmatan operasi, penyelenggaraan dan sokongan infrastruktur teknologi bagi memastikan kebolehpercayaan, ketersediaan dan prestasi infrastruktur ICT serta rangkaian JPJ sekali gus menyokong operasi harian dan penyampaian perkhidmatan awam agensi itu.
"Kontrak tersebut adalah bagi tempoh 36 bulan bermula dari 1 Ogos, 2026 hingga 31 Julai, 2029," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina Yee Chee Meng berkata kontrak itu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan tersebut dalam sektor kerajaan selain memperkukuh keupayaannya dalam menguruskan persekitaran infrastruktur teknologi berskala besar yang menyokong perkhidmatan awam utama.
Dengan kejayaan meraih kontrak terbaharu ini, kumpulan itu menyatakan nilai perolehan kontrak tertunggak meningkat kepada kira-kira RM550 juta sekali gus mengukuhkan lagi keterlihatan unjuran pendapatan dan menyokong pertumbuhan masa hadapan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- MPI, Puspakom Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
- Kerani Wanita Rugi RM970,000 Diperdaya Sindiket Menyamar Pengurus Syarikat
- Anak Tempatan Kekal Dominan Di Universiti Awam, Pelajar Antarabangsa Hanya 8.9 Peratus - IPPTN
- Penyelidik Australia Guna Penyu Untuk Jejak Siklon Tropika
- Hampir 6,000 Pelaut Terkandas Di Teluk Susulan Serangan Berterusan Di Selat Hormuz - IMO