08/07/2026 11:44 AM

PRN Johor: Lebih 300,000 Pengundi Dijangka Pulang, Aliran Trafik Meningkat - LLM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan kepulangan lebih 300,000 pengundi luar bagi menunaikan tanggungjawab mereka, yang akan menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di lebuh raya khususnya di Johor sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad berkata orang ramai yang bercadang untuk memasuki atau melalui Johor disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke negeri berkenaan.

Beliau berkata bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar di lebuh raya, kerja-kerja melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian tersebut kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.

"LLM juga menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch 'n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.

"Pengguna juga perlu mematuhi had laju dan berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Simpang Renggam hingga Senai (Utara)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Hasni mengingatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane dan berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah yang disediakan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta menyemak sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Paparan keadaan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya turut boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my serta Saluran WhatsApp LLM Info Trafik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 manakala 27 Jun lepas sebagai hari penamaan calon.

-- BERNAMA