KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang mekanik warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan material dengan menyediakan makanan kepada individu yang menyeludup 31 migran senegara, bulan lepas.
Mohammad Jony Sheikh, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman di Jalan Sentul Perdana di sini pada 4.30 petang, 10 Sept lepas mengikut Seksyen 26I(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin tidak menawarkan jaminan kerana kes itu melibatkan kesalahan keselamatan yang tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, peguam S Vikneshwaran yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad tidak membenarkan jaminan terhadap Mohammad Jony dan menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA