07/07/2026 07:49 PM

Unit Ge-Shen Jual Lima Bidang Tanah Di Johor Pada Harga RM35.50 Juta

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Ge-Shen Plastic (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ge-Shen Corp Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Plastico Sdn Bhd bagi penjualan lima bidang tanah berstatus pegangan bebas di Tebrau, Johor, pada harga RM35.50 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan kejuruteraan ketepatan dan pembuatan itu memaklumkan cadangan itu bagi membolehkan kumpulan memanfaatkan hasil jualan yang dijangka memberi sumbangan positif kepada aliran tunai masa depan kumpulan apabila urus niaga itu dimuktamadkan.

Sebahagian daripada hasil penjualan itu akan turut dimanfaatkan bagi membayar balik pinjaman bank serta mengurangkan nisbah hutang Ge-Shen.

Cadangan penjualan itu dijangka selesai pada suku keempat 2026, menurut Ge-Shen.

“Apabila selesai kelak, sejumlah RM25.69 juta akan digunakan bagi tujuan pembayaran pinjaman bank manakala RM2.56 juta diperuntukkan bagi menampung anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan itu.

“Baki RM7.23 juta pula bagi tujuan modal kerja,” menurutnya.

Ge-Shen menjangkakan penjualan itu dapat mengukuhkan kedudukan kewangan serta meningkatkan prestasi kewangan kumpulan.

Selain itu, kumpulan juga dijangka mencatatkan pulangan pro forma bersih bagi penjualan RM12.63 juta mengikut nilai buku bersih setakat 31 Disember 2025,

-- BERNAMA