PRN Johor: Gangguan Haiwan Liar Fokus Utama Calon PH Di Rengit
BATU PAHAT, 7 Julai (Bernama) -- Gangguan monyet dan babi hutan yang merosakkan tanaman antara isu utama akan diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Mohamad Yazid Bakri sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau berkata isu berkenaan mungkin dilihat remeh oleh sesetengah pihak, namun bagi penduduk luar bandar yang bergantung kepada hasil pertanian, ia memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan mereka.
Mohamad Yazid berkata memandangkan 80 peratus penduduk DUN Rengit tinggal di kawasan kampung, maka sebahagian besar isu yang dibangkitkan berkait rapat dengan kehidupan luar bandar dan sektor pertanian.
“Masalah utama kepada ‘orang kampung’ yang kebanyakannya adalah golongan petani dan juga pekebun ini adalah gangguan daripada haiwan liar seperti monyet dan juga babi hutan yang sering mengganggu tanaman mereka.
“Habis tanaman yang mereka usahakan terdiri daripada pisang, nanas dan benih kelapa serta kelapa sawit dimusnahkan, terutamanya oleh kumpulan monyet serta babi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata babi hutan bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada petani malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya yang bertembung atau terlanggar haiwan itu, terutamanya pada waktu malam atau awal pagi.
Selain isu haiwan liar, Mohamad Yazid berkata masalah benteng sungai yang kerap pecah ketika air pasang juga memerlukan tindakan segera kerana menjejaskan kehidupan penduduk di beberapa kampung.
“Penduduk beberapa kampung terutamanya Kampung Sungai Berong terpaksa berhadapan dengan air pasang yang memasuki kediaman mereka apabila berlaku kejadian itu. Kejadian pada Januari lepas telah melibatkan hampir 20 keluarga.
“Kita dapati masalah yang turut dihadapi di kawasan penduduk luar bandar adalah kemudahan Internet dengan sesetengah kawasan agak tidak stabil sehingga menjejaskan aktiviti seharian khususnya pelajar,” katanya.
Beliau yang aktif dalam Komuniti MADANI berkata pengalaman sebagai Ahli Panel Klinik Kesihatan Rengit selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung dari 2019 hingga 2021 banyak membantunya memahami keperluan penduduk setempat.
DUN Rengit menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohamad Yazid, calon Perikatan Nasional (PN) Syed Mohamad Syed Alwi dan Zaidi Japar mewakili Barisan Nasional (BN).
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N25: RENGIT - 27,608 pengundi
1. Mohamed Yazid Bakri (PH-Amanah)
2. Syed Mohamad Syed Alwi (PN-Bersatu)
3. Zaidi Japar (BN-UMNO)
(2022: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi: BN-UMNO: Maj: 1,920)
Kata kunci
Berita terkini
- PRN: Calon PH DUN Paloh Dirawat Di Hospital Akibat "Slipped Disc"
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB
- Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan
- El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
- Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam