07/07/2026 03:52 PM

Isu Pajakan Tanah Kampung Melayu Majidee Jadi Topik Hangat Kempen PH–BN Di DUN Larkin

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Isu pajakan tanah Kampung Melayu Majidee serta pembangunan infrastruktur awam yang seiring dengan peredaran zaman, menjadi antara topik hangat diperkatakan dalam kempen calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Persaingan di kawasan itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Hairi Mad Shah yang juga penyandang DUN dan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat masing-masing membentangkan naratif serta formula berbeza bagi mengimbangi desakan kemajuan dengan pemeliharaan penempatan komuniti setempat.

Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memelihara kedudukan Kampung Melayu Majidee menerusi tawaran sambungan pajakan selama 60 hingga 99 tahun, sama ada secara lot ataupun individu, selain diskaun premium sebanyak 50 peratus bagi meringankan beban penduduk.

“Langkah itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memberikan tanah ini kepada legasi seterusnya agar kawasan ini terbela dan tersusun dengan kehidupan serta kemajmukan orang Melayu di tengah-tengah bandar raya ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang menyandang kerusi berkenaan selama sepenggal berkata isu tanah itu juga seharusnya tidak menjadi polemik politik dan perlu diselesaikan dengan fakta.

Sebaliknya, Suhaizan yang merupakan Ahli Parlimen Pulai pula berpandangan langkah kerajaan negeri membantu penduduk berkenaan setakat ini tidak selaras dengan kehendak rakyat. 

Beliau mencadangkan formula rundingan "dua jalur" bergerak seiringan antara komuniti dengan kerajaan bagi menyelesaikan kemelut tersebut, memandangkan penduduk mahukan status pajakan itu ditukar kepada hak milik kekal.

Selain isu tanah, cabaran untuk membangunkan kawasan yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru itu agar kekal mampan dan relevan mengikut peredaran zaman turut menjadi tumpuan.

Mohd Hairi mengakui keperluan untuk terus menambah baik kemudahan di Larkin termasuk isu kekurangan tempat letak kenderaan awam yang sebahagiannya berlaku apabila pekerja rentas sempadan meletakkan kenderaan di kawasan berdekatan Terminal Larkin Sentral.

Beliau, bagaimanapun yakin bahawa kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan menyusun pelan penyelesaian yang holistik bagi menangani isu berkenaan sekiranya BN diberi mandat sekali lagi.

Dalam aspek pembangunan fizikal yang lain, Mohd Hairi turut mempertaruhkan rekod prestasinya dalam menjamin penduduk di kawasan berkenaan agar turut merasai transformasi pendidikan menerusi usahanya memastikan dua daripada empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) berada di Larkin.

“Selain itu, saya juga berjaya memindahkan penduduk setinggan di kawasan Larkin yang duduk di tepi stesen kereta api dan selalu dilanda banjir ke kediaman flat yang lebih selesa,” katanya.

Suhaizan dalam pada itu, menyentuh tentang pelan jangka panjang berhubung peluang pemilikan rumah mampu milik untuk penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang perlu diberi perhatian di Larkin, khususnya bagi menangani isu kepadatan isi rumah serta masalah pengurusan dan penyelenggaraan rumah kos rendah.

“Saya tertarik dengan pendekatan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, rumah pangsa yang bermasalah diambil alih untuk diselenggara, perbadanan pengurusan (MC) diberi latihan dan masalah penyelenggaraan dibantu, sebelum dikembalikan semula kepada MC (apabila pulih)," katanya yang menjelaskan langkah itu berupaya untuk dilaksanakan di Larkin sekiranya diberi mandat.

Persaingan bagi memenangi DUN Larkin itu turut sama menyaksikan penyertaan calon Bersama, Norsinah Abu.

Sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada hari ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N44 Larkin: 76,662

  1.   Norsinah Abu (Bersama)
  2.   Suhaizan Kaiat (PH-Amanah)
  3.   Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO)

(2022: Mohd Hairi Mad Shah: BN-UMNO: Maj. 6,178)