PRN Johor: Selesaikan Isu Internet Agenda Utama Calon PH Sekiranya Diberi Mandat Di Benut
Oleh Muhammad Faiz Baharin
BATU PAHAT, 7 Julai (Bernama) -- Menyelesaikan isu talian internet yang sudah berlarutan sejak sekian lama menjadi agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut Abd Razak Ismail sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Johor itu berkata perkara berkenaan menjadi antara isu yang paling banyak diadukan oleh penduduk kepadanya dalam setiap pertemuan sewaktu berkempen.
“Ya, isu ini sudah lama dan pastinya penyelesaian kepada masalah Internet ini akan menjadi senarai nombor satu permasalahan di kawasan Benut yang akan saya ikhtiarkan, termasuklah dengan mendapatkan bantuan pada peringkat kerajaan Persekutuan.
“Selain itu, saya juga berazam untuk memberikan penumpuan dengan menambah baik fasiliti dan infrastruktur awam serta membawa agenda pembangunan ekonomi di Benut,” katanya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH di Benut, di sini.
Abd Razak dalam pada itu mengakui beliau berhadapan misi besar untuk merampas kerusi DUN Benut, yang disifatkan ramai sebagai kubu tradisi Barisan Nasional (BN) di Johor.
“Bagaimanapun kita optimis, malah sambutan yang diterima daripada penduduk sekitar sepanjang tempoh berkempen juga positif, dan semestinya kita akan terus berkempen habis-habisan berbaki beberapa hari tempoh kempen ini termasuk memanfaatkan platform media sosial,” katanya.
Sementara itu, calon BN Datuk Mohd Sumali Reduan tidak mahu mengambil pendekatan terlalu yakin dan akan terus menggerakkan jentera parti itu untuk mendekati seramai mungkin pengundi DUN Benut dalam usahanya mempertahankan kawasan itu sebagai kubu kuat UMNO.
Mohd Sumali yang juga Setiausaha Kerja UMNO bagaimanapun berkata latar belakangnya sebagai calon yang lahir dan membesar di Benut mungkin memberi sedikit kelebihan kerana sudah memiliki hubungan akrab dengan komuniti sejak dahulu, sekali gus menjadi tonik tambahan buatnya dalam penampilan sulung pada pentas politik.
“Berbaki tempoh kempen ini, kita akan fokus mendekati pengundi dalam skala program kecil-kecilan secara lebih kerap, dan saya harap sokongan yang dizahirkan orang ramai di sini setakat ini akan diterjemahkan dengan kejayaan kita mempertahankan kerusi DUN Benut pada Sabtu ini,” katanya.
Pada PRN Johor ke-16 Sabtu ini, DUN Benut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Sumali dan Abd Razak.
Bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad daripada BN merupakan penyandang kerusi DUN Benut pada PRN lepas dengan majoriti 5,859 undi, beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu pada kali ini dan memberikan laluan kepada Mohd Sumali.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N53: BENUT: JOHOR: 28,798 pengundi
1. Datuk Mohd Sumali Reduan (BN-UMNO)
2. Abd Razak Ismail (PH-Amanah)
(2022: Datuk Hasni Mohammad: BN-UMNO: Maj: 5,859)
Kata kunci
Berita terkini
- MMM Sambut Baik Cadangan PM Anwar Rujuk Aduan Wartawan Kepada Majlis
- Lawatan Syria Diteruskan Meskipun Letupan Di Damsyik - Macron
- MPT Meterai MoU Dengan Bukit Merah Laketown Resort, BMOUIF Perkasa Ekosistem Pelancongan
- Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Rendah
- NBF Thailand Pelawa Malaysia Jalin Kerjasama Penyelidikan Biofarmaseutikal