07/07/2026 01:21 PM

PRN Johor: Cadangan Mengundi Hari Ahad Pandangan Peribadi, Tak Campur Urusan SPR - Anwar

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan pada Ahad hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukannya campur tangan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Anwar menegaskan SPR merupakan sebuah badan bebas yang berhak menentukan tarikh pilihan raya mengikut pertimbangannya sendiri, walaupun beliau berpendapat pengundian pada Ahad lebih memudahkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Umpamanya yang bekerja di Singapura itu ramai dan hari Sabtu itu ramai yang bekerja setengah hari. Jadi sebaiknya (mengundi) hari Ahad. Tetapi SPR badan bebas, dia nak buat hari Sabtu, itu keputusan dia.

“… Teguran saya dari segi itu bukan maknanya campur tangan (dalam urusan SPR). Kalau saya campur, lain keadaannya," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai laporan media berkaitan kenyataan Anwar semasa kempen PRN Johor berhubung penetapan hari pengundian PRN Johor pada Sabtu dan bukan Ahad.

Anwar turut menegaskan beliau tidak bercadang menghubungi rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, berhubung urusan pengundian PRN Johor kerana Malaysia berpegang kepada prinsip tidak meminta negara lain campur tangan dalam urusan pilihan raya.

Beliau berkata walaupun hubungan Malaysia dengan Singapura berada pada tahap yang sangat baik, termasuk hubungan peribadinya dengan Lawrence Wong, perkara berkaitan pilihan raya kekal sebagai urusan dalaman negara.

“Saya tidak bercadang untuk menghubungi Perdana Menteri Singapura dalam urusan pengundian atau pemilihan di Malaysia,” kata beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung cadangan supaya Malaysia berbincang dengan Singapura untuk memudahkan urusan rakyat pulang mengundi bagi PRN Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat di Singapura hanya dimaklumkan supaya memberi kemudahan kepada pekerja rakyat Malaysia untuk pulang mengundi apabila pilihan raya diadakan.

-- BERNAMA