PRN Johor: Subramani Optimis Cipta Kejutan Di Bukit Kepong
Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
PAGOH, 7 Julai (Bernama) -- Hasrat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di sini yang mahukan perubahan mendorong C. Subramani untuk berusaha memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 supaya dapat merealisasikan perkara itu.
Subramani, calon Pakatan Harapan (PH) juga optimis mampu melakukan kejutan berdasarkan maklum balas memberangsangkan yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen.
Mesra disapa sebagai Mani, beliau bertekad mempertaruhkan sinergi serta keselarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebagai formula utama bagi mempermudah serta memacu rancangan pembangunan di kawasan itu.
Anak jati Pagoh itu berkata tinjauan di sebahagian besar Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk di perkampungan Orang Asli membolehkannya merasai sendiri kekangan prasarana awam serta kemelut sosioekonomi yang membelenggu penduduk setempat.
“Saya telah melawat semua kawasan dan berjumpa dengan seberapa ramai penduduk setempat. Saya nampak masalah yang dihadapi mereka dan dapat meneliti permasalahan yang perlu diselesaikan dahulu.
“Saya lihat sokongan masyarakat di sini bagus kerana mereka mahukan perubahan. Justeru, saya tidak khuatir dengan persaingan daripada calon parti lain yang bertanding di sini,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Subramani yang pernah bertanding bagi DUN Buloh Kasap pada PRN Johor 2022 berkata keselarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat memudahkan isu tempatan yang melibatkan agensi pada peringkat Pusat diuruskan secara terus, lancar serta lebih efisien.
Sebagai contoh, Ketua Cabang PKR Pagoh itu berkata isu berkaitan hal ehwal pendidikan serta sistem pengairan dan saliran boleh disalurkan terus kepada menteri berkaitan atau Perdana Menteri, sekiranya pentadbiran sehaluan.
Antara agenda tempatan lain yang hendak diketengahkan Subramani ialah menaik taraf Galeri Bukit Kepong sebagai hab pelancongan sejarah bagi merancakkan ekonomi komuniti mikro selain menyelesaikan masalah kekurangan lampu jalan, jambatan sempit dan merancang pembinaan rumah mampu milik untuk golongan B40.
Walaupun berhadapan pertembungan tiga penjuru, Subramani yang aktif dalam arena politik sejak 2008 menganggap penglibatan beliau yang dekat dengan rakyat sebagai satu kelebihan berbanding calon lain.
Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN Bukit Kepong menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada 11 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N07: BUKIT KEPONG: 37,683 pengundi
1. C.Subramani (PH-PKR)
2. Ahmad Syar’e Yusof (BN-UMNO)
3. Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN-Bersatu)
(2022: Datuk Dr Sahruddin Jamal: PN-Bersatu: Maj: 710)
Kata kunci
Berita terkini
- MMM Sambut Baik Cadangan PM Anwar Rujuk Aduan Wartawan Kepada Majlis
- Lawatan Syria Diteruskan Meskipun Letupan Di Damsyik - Macron
- MPT Meterai MoU Dengan Bukit Merah Laketown Resort, BMOUIF Perkasa Ekosistem Pelancongan
- Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Rendah
- NBF Thailand Pelawa Malaysia Jalin Kerjasama Penyelidikan Biofarmaseutikal