Berkereta Kuda Di Pantai Tanjung Balau Tawar Pengalaman Pelancongan Santai
Oleh Muhammad Saufee Rosman
KOTA TINGGI, 7 Julai (Bernama) -- Bunyi tapak kaki kuda jenis belima diiringi roda kereta kuda yang menyusuri laluan berhampiran Pantai Tanjung Balau, di sini memecah kesunyian pagi, membawa pengunjung mengimbau kembali zaman semasa pengangkutan itu menjadi lambang kemewahan golongan bangsawan.
Berkonsepkan pengalaman luar biasa, kemudahan yang ditawarkan Johor Horse Carriage kini menjadi antara produk pelancongan unik di Johor, membolehkan pengunjung mengimbau nostalgia itu dalam suasana moden sekali gus menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Di sebalik pengalaman itu, tersimpan hasrat pengusahanya Nur Iswandi Shahrani, 49, untuk memperkenalkan identiti dan seni warisan Johor yang berkait rapat dengan budaya berkuda seperti Kuda Kepang.
Nur Iswandi berkata kewujudan Johor Horse Carriage yang terletak kira-kira 700 meter dari Pantai Tanjung Balau juga tercetus daripada minatnya terhadap haiwan yang sinonim sebagai lambang kegagahan selain keinginannya untuk memperkenalkan produk pelancongan baharu di negeri tersebut.
“Idea saya tercetus selepas melihat perkhidmatan pelancongan menggunakan kereta kuda di Kuala Lumpur dan Melaka. Saya bawa aktiviti itu ke sini kerana di Johor masih tiada yang menawarkan pengalaman seperti ini berdekatan kawasan pantai,” katanya kepada Bernama.
Selain membawa penumpang menikmati perjalanan santai, beliau berkata setiap kereta kuda itu dikendalikan oleh pemandu yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong yang akan memperkenalkan lokasi menarik di sekitar Pantai Tanjung Balau termasuk muzium dan perkampungan nelayan.
Nur Iswandi berkata pengalaman eksklusif itu berjaya menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara, khususnya dari Singapura yang mencari aktiviti berbeza dalam suasana tenang serta jauh daripada kesibukan kota.
“Ada yang tidak pernah merasai pengalaman sebegini. Suasananya santai dan berkonsep terbuka. Penumpang hanya perlu menikmati pemandangan dan secara tidak langsung mereka dapat merasai pengalaman yang lebih eksklusif semasa menaiki kereta kuda,” katanya.
Nur Iswandi berkata perkhidmatan kereta kuda turut menjadi pilihan pasangan pengantin untuk merakam kenangan dengan latar belakang panorama Pantai Tanjung Balau yang memberi sentuhan seperti kisah dongeng Cinderella.
Selain pakej utama menaiki kereta kuda, Johor Horse Carriage juga menawarkan aktiviti joy ride mengelilingi trek padang dan memberi makan kepada kuda.
Walaupun mendapat sambutan menggalakkan sepanjang lebih sedekad beroperasi, Nur Iswandi mengakui perjalanan membangunkan produk pelancongan berasaskan haiwan itu tidak pernah sunyi daripada cabaran.
“Ada yang mengadu tentang bau dan bimbang berlaku penganiayaan terhadap haiwan, tetapi kita bekerjasama dengan pihak veterinar dan mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan dalam penjagaan kuda,” katanya yang kini memiliki 15 ekor kuda dan tiga kereta kuda.
Beliau berkata kebajikan setiap kuda sentiasa menjadi keutamaan dalam operasi perniagaan itu termasuk menguatkuasakan prosedur yang ketat seperti mengehadkan tempoh setiap haiwan itu menarik kereta kuda serta menetapkan had beban yang boleh ditarik.
Selain itu, kesihatan kuda turut dipantau oleh doktor haiwan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala aspek kebersihan diberi perhatian menerusi pengurusan najis serta pembersihan kandang secara berkala bagi memastikan persekitaran sentiasa terpelihara.
“Kita juga memastikan kuda tidak terlepas atau merayau sehingga membahayakan keselamatan jalan raya. Sekarang, penerimaan penduduk setempat dan orang ramai semakin positif selain agensi kerajaan juga selalu menggunakan perkhidmatan kami untuk membawa tetamu kenamaan,” katanya.
Mengenai perancangan pada masa depan, Nur Iswandi berharap supaya produk pelancongan komuniti yang menggabungkan identiti budaya dan alam semula jadi terus mendapat sokongan lebih meluas daripada kerajaan serta agensi pelancongan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Siapa Mampu Ganti Beasley? - Shah Firdaus
- Tiga Termasuk Dua Pengarah Syarikat Ditahan Kemuka Dokumen Palsu Bernilai RM20 Juta
- Polis Bongkar Aktiviti Proses e-Waste Haram, Tahan 11 Warga Asing
- Scaloni Nafi Argentina Rasa Tertekan Menjadi Pasukan Pilihan
- Undi Awal PRN Johor Selesai, 62 Pusat Mengundi Ditutup