07/07/2026 10:50 AM

Sarjan Polis Tunai Tanggungjawab Mengundi Awal Walaupun Terpaksa Berkerusi Roda

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Kecederaan tendon achilles atau urat keting pada kaki kanan yang dialami ketika bermain sepak takraw minggu lepas tidak menghalang seorang anggota polis untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, hari ini.

Walaupun terpaksa berkerusi roda dan sedang bercuti sakit hingga 16 Julai ini, Sarjan Syahrizal Musa, 40, tetap hadir ke pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk mengundi awal.

Beliau yang kini bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), IPK Johor berkata kecederaan yang dialaminya bukan alasan untuk tidak keluar mengundi.

“Saya tetap kena datang mengundi sebab ini tanggungjawab. Saya datang ke sini dengan menumpang kawan yang menjemput saya di kuarters polis di Tampoi.

“Hari ini kali pertama saya mengundi dalam keadaan berkerusi roda. Sepanjang lebih 22 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengundian awal itu.

Anak kelahiran Seri Iskandar, Perak itu berkata doktor memaklumkan beliau mengalami koyakan kecil pada tendon achilles selepas bermain sepak takraw secara santai minggu lepas.

Syahrizal berkata beliau memang aktif dalam sukan sepak takraw sejak usia muda dan pernah mewakili kontinjen polis dalam beberapa kejohanan sukan berkenaan.

Mula berkhidmat di IPK Johor pada 2014 selepas sembilan tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, beliau berharap lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi demi menentukan masa depan negeri dan negara.

Sebanyak 64 pusat mengundi dibuka hari ini melibatkan 24,751 pengundi awal terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing.

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian bagi 2.7 juta pengundi biasa ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA