07/07/2026 09:59 AM

Penjawat Awam Rugi Lebih RM60,000 Diperdaya Sindiket Tawaran Kerja Sambilan

KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Seorang penjawat awam wanita kerugian RM63,438 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada Jumaat lepas, mangsa yang berusia 43 tahun dihubungi suspek lelaki yang menawarkan kerja sambilan dengan kadar upah lumayan.

Beliau berkata mangsa yang berminat telah dimasukkan ke satu kumpulan Telegram untuk arahan lanjut dan pelbagai testimoni berkaitan tugasan oleh ahli kumpulan lain.

"Untuk mendapatkan upah, mangsa perlu membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan oleh suspek menggunakan wang sendiri. Mangsa yang terpengaruh dengan pelbagai komen positif oleh ahli kumpulan Telegram lain telah membuat beberapa transaksi ke akaun bank seperti arahan suspek.

"Bagaimanapun, untuk mendapatkan upah tersebut, mangsa perlu membuat bayaran lain kononnya sebagai kos tebus. Secara keseluruhan, mangsa telah membuat 18 transaksi berjumlah RM63,438 dalam tempoh 5 hingga 6 Jun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 8.27 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA