PRN Johor: Calon PH Pertaruh "Strategi Hibrid" Tembusi DUN Pasir Raja
Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KOTA TINGGI, 6 Julai (BERNAMA) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja Mohd Fakharuddin Moslim, menggunakan apa dipanggilnya sebagai “Strategi Hibrid” untuk menawan hati pengundi berbaki empat hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.
Beliau menjelaskan pendekatan hibrid itu, menggabungkan kempen bersemuka secara agresif di lapangan serta penguasaan naratif di platform media sosial, yang kaedah itu terbukti berkesan apabila jenteranya berjaya melengkapkan siri jelajah 100 peratus di kesemua lokaliti dalam DUN berkenaan.
Menerusi strategi itu Mohd Fakharuddin berkata mereka bukan sahaja dapat mendekati kelompok pengundi tradisional secara fizikal, malah berjaya menembusi sempadan geografi untuk menyantuni golongan muda dan pengundi luar, menerusi penggunaan paltform media sosial.
“Strategi hibrid ini, membolehkan kami menyantuni hampir keseluruhan lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, pekebun, anak muda, dan warga Felda secara serentak. Alhamdulillah, daripada segi liputan fizikal, jentera kami telah berjaya menjejaki keseluruhan kawasan DUN Pasir Raja, termasuk kawasan yang agak terpencil seperti Sungai Redan.
“Memandangkan semua lokaliti telah dilawati, fokus kami dalam baki lima hari fasa pecutan akhir ini ialah melakukan pusingan kedua, demi mengukuhkan keyakinan pengundi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fakharuddin berkata beliau menyedari golongan muda merupakan penentu landskap politik semasa dan platform digital merupakan ruang terbaik untuk mencetuskan kesedaran bagi menarik mereka pulang mengundi.
“Fokus utama kami sekarang ialah menggunakan impak digital ini untuk menggerakkan pengundi luar, terutamanya anak muda, untuk pulang. Saya mahu pastikan mesej ini sampai ke gajet mereka, bahawa setiap undi di Pasir Raja, penentu masa depan kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkongsi latar belakangnya sebagai anak peneroka dan generasi kedua Felda dari kawasan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, sewaktu turun ke lapangan untuk membina hubungan yang dekat dengan pengundi.
“Saya bersyukur ada keserasian spontan yang tercipta di lapangan, penerimaan warga Felda termasuk generasi pertama, amat menyentuh hati saya. Mereka menyambut saya dengan penuh mesra, malah ada yang pelawa duduk bersembang dan minum bersama di gerai-gerai sewaktu saya berkempen,” katanya.
Mohd Fakharuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru di DUN Pasir Raja yang mempunyai 29,818 pengundi berdaftar, menentang calon BN Datuk Seri Dr Adham Baba dan calon Perikatan Nasional (PN) Yuhanita Yunan.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N35: PASIR RAJA: 29,818 pengundi
1. Datuk Seri Adham Baba (BN-UMNO)
2. Yuhanita Yunan (PN-PAS)
3. Mohd Fakharuddin Moslim (PH-PKR)
(2022: Rashidah Ismail: BN-UMNO: Maj: 4,888)
Kata kunci
Berita terkini
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta
- PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
- SUKMA Selangor 2026 Terima Suntikan Tajaan Hampir RM8 Juta
- PRN Johor: Yeo Yakin Rekod Dua Penggal Mampu Rampas Semula DUN Pekan Nanas