06/07/2026 07:37 PM

PRN Johor: ‘Puteri Menangis’ Mahu Perkhidmatan Internet Lebih Baik Di Benut

Oleh Muhammad Faiz Baharin

PONTIAN, 6 Julai (Bernama) -- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di sini, termasuk di Puteri Menangis, mahu penyelesaian segera terhadap isu liputan Internet yang dialami di tempat berkenaan sejak sekian lama.

Pesara Siti Masita Mohamed, 60, berkata capaian Internet di kawasan berkenaan amat mendukacitakan dan mendakwa tiada sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pihak berwajib biarpun permasalahan berkaitan perkara berkenaan pernah dibangkitkan penduduk.

“Anak saya guru tadika dan tinggal di Kampung Puteri Menangis, jadi kadang-kadang bila ada kerja perlu diselesaikan di rumah dia ada masalah untuk menyempurnakannya kerana perkhidmatan Internet di sana tidak memuaskan.

“Jadi kadang-kadang dia terpaksa pulang ke rumah kami satu lagi di Sungai Pinggan, tapi itulah di Sungai Pinggan pun kelajuan Internet tidak stabil, sekejap laju sekejap tidak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Terminal Bas Benut di sini hari ini. 

Pekerja swasta Md Shah Rizal Abdur Rahaman, 39, pula menyifatkan masalah gangguan talian yang sering berlaku bukan sahaja menjejaskan rutin harian penduduk, malah memberi impak negatif kepada sektor ekonomi setempat, khususnya bagi usahawan kecil yang bergantung kepada perniagaan dalam talian.

“Bayangkan ada dalam kalangan penduduk yang mahu berusaha tambah pendapatan dengan melakukan perniagaan dalam talian, namun berhadapan kekangan kerana talian Internet yang sekejap ada sekejap tiada,” katanya.

Isu berkenaan turut dihadapi peniaga runcit Ahmad Shahril Azhar, 45, yang mendakwa masalah capaian Internet tidak stabil sering menyebabkan urusan transaksi digital menggunakan kod QR di premis perniagaan dan pemindahan wang secara dalam talian tergendala.

“Ramai pelanggan mahu bayar tanpa tunai, tetapi Internet di kawasan ini sekejap ada, sekejap hilang, sedikit sebanyak mengganggu perniagaan. Kadang-kadang pelanggan terpaksa menunggu lama (untuk menyempurnakan transaksi) atau lebih menyedihkan membatalkan niat membeli kerana transaksi gagal," katanya.

Dalam pada itu, pelajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Skudai Ating Loh, 21 yang menetap di pekan Benut berharap akan ada tindakan sewajarnya daripada pihak berwajib untuk meningkatkan capaian Internet di kawasan tersebut.

“Bagi pelajar seperti saya, talian Internet yang stabil itu penting, tambahan bila kita pulang bercuti, dan ada tugasan yang perlu diselesaikan di rumah atau perlu membuat persiapan ulang kaji bagi menghadapi peperiksaan,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Benut, yang terletak kira-kira 80 kilometer atau lebih satu jam empat puluh minit perjalanan menaiki kereta dari Johor Bahru mendapati antara kawasan yang berhadapan gangguan capaian Internet melibatkan Air Baloi, Sungai Pinggan, Parit Markom dan Puteri Menangis.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini, DUN Benut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Sumali Reduan menentang calon Pakatan Harapan (PH) Abd Razak Ismail.

Bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad daripada BN merupakan penyandang kerusi DUN Benut pada PRN lepas dengan majoriti 5,859 undi. Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN kali ini dan memberi laluan kepada Mohd Sumali.

Pengundian awal PRN Johor akan berlangsung esok melibatkan 24,751 pengundi.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N53: BENUT - 28,798 pengundi

1. Datuk Mohd Sumali Reduan (BN-UMNO)

2. Abd Razak Ismail (PH-Amanah)

(2022: Datuk Hasni Mohammad: BN-UMNO: Maj: 5,859)