06/07/2026 03:30 PM

PRN Johor: Calon PH Saiful Nizam Bawa Misi "Suara Endau Ke Putrajaya"

MERSING, 6 Julai (Bernama) -- Hasrat memastikan suara masyarakat Endau lebih didengari Kerajaan Persekutuan menjadi antara teras kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan itu Saiful Nizam Samat, yang tampil dengan misi "Suara Endau ke Putrajaya" pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata pendekatan itu diyakini mampu mempercepat penyelarasan pelbagai perancangan pembangunan, sekali gus memberi manfaat yang lebih besar kepada penduduk setempat.

“Kenapa saya tak letak Iskandar Puteri atau Kota Iskandar, sebab kita nak suara kita selari dengan Kerajaan Persekutuan, jadi mudah untuk berkomunikasi dan berurusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas mengenai gerak kerja kempen yang kini hanya berbaki lima hari, Saiful Nizam berkata sambutan pengundi di Endau sepanjang minggu pertama sangat positif merangkumi pelbagai lapisan umur, termasuk golongan muda dan warga emas.

Beliau berkata pendekatan kempen turut digerakkan secara agresif menerusi gabungan kaedah konvensional dan digital bagi memastikan mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan sepanjang tempoh berkempen.

Saiful Nizam berkata kempen turut dimeriahkan dengan penggunaan lagu khas yang lebih santai dan mudah diingati sebagai salah satu cara menarik perhatian pengundi, khususnya golongan muda.

Sementara itu, beliau berkata beberapa pusat daerah mengundi termasuk di kawasan perkampungan Orang Asli akan menjadi tumpuan lawatannya dalam tempoh terdekat ini.

Mengulas persaingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Saiful Nizam berkata beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN) Alwiyah Talib yang juga penyandang dua penggal kerusi berkenaan, namun tetap optimis dan memilih untuk memberi tumpuan kepada kekuatan gerak kerja sendiri serta tawaran realistik kepada rakyat.

“Saya menyeru agar pengundi Endau yang berada di luar kawasan termasuk yang bekerja di Singapura, Lembah Klang dan wilayah lain untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Sabtu ini bagi memilih sebuah pembaharuan,” katanya.

DUN Endau menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Saiful Nizam, Alwiyah, calon Perikatan Nasional (PN) Hasnul Hakimi Hussien dan Jati Awang mewakili Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan berlangsung esok.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.   

-- BERNAMA

 

N32: ENDAU - 28,767 pengundi

1. Hasnul Hakimi Hussien (PN-PAS)

2. Jati Awang (ASLI)

3. Saiful Nizam Samat (PH-PKR)

4. Alwiyah Talib (BN-UMNO)

(2022: Alwiyah Talib: PN-Bersatu: Maj: 3,041)