06/07/2026 01:32 PM

Bandar Mesra Warga Emas, Penjagaan Kanak-kanak Antara Tumpuan Calon PH Di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Lima calon Pakatan Harapan (PH) bagi zon Johor Bahru tampil dengan naratif luar biasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini apabila mengangkat isu "kebajikan domestik". 

Gandingan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Skudai, Stulang, Perling dan Johor Jaya itu menyifatkan pembentukan bandar mesra warga emas dan akses ke pusat penjagaan kanak-kanak sebagai misi serampang dua mata untuk meredakan tekanan hidup golongan muda yang bekerja di bandar raya ini.

Calon DUN Skudai, J. Kartiyaini berkata trend penuaan yang semakin ketara menuntut satu pelan intervensi drastik memandangkan taburan warga emas di kawasan padat seperti Skudai dan Perling kini dilaporkan mencecah hampir 30 peratus.

“Jika PH mentadbir Johor, tawaran kami adalah untuk membentuk sebuah bandar raya yang membolehkan warga emas hidup dengan selesa, dihormati dan dijaga dengan lebih baik. 

“Pada masa yang sama, kami juga mahu memastikan keluarga yang tidak dapat menjaga warga emas sepanjang hari boleh keluar bekerja dan belajar dengan lebih tenang,” katanya pada sidang media hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri empat calon lain, iaitu Andrew Chen Kah Eng (DUN Stulang), Lee Wern Yiing (DUN Johor Jaya), Alan Tee Boon Tsong (DUN Perling) dan Nor Zulaila Abd Ghani (DUN Tiram).

Kartiyaini berkata bagi merealisasikan hasrat itu, PH menggariskan komitmen untuk menaik taraf infrastruktur awam, memperkukuh jalinan agensi kebajikan, serta mengoptimumkan fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menerusi peruntukan yang lebih kompetitif daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Nor Zulaila yang mesra disapa Lily, berkata ekosistem sokongan keluarga hanya akan lengkap jika isu penjagaan kanak-kanak diberi keutamaan, memandangkan Johor mempunyai lebih satu juta kanak-kanak yang memerlukan akses keselamatan terbaik.

“Satu daripada tawaran untuk rakyat Johor ialah memperbanyak pusat penjagaan kanak-kanak yang berdekatan dengan tempat kerja. 

“Jadi, andai kata ada pusat penjagaan, ada taska yang berdekatan dengan tempat kerja, sudah semestinya dapat membantu meringankan beban ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak mereka,” katanya.

Selain kebajikan keluarga, gabungan calon PH di zon "Greater Johor Bahru" itu turut meletakkan isu penambahbaikan sistem pengangkutan awam, pengurusan bencana banjir kilat serta kelancaran aliran trafik rentas sempadan sebagai agenda keutamaan.

Kesemua calon menegaskan bahawa komitmen tersebut akan digerakkan secara kolektif sebagai satu pasukan padu dengan memanfaatkan sinergi pada peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal berlangsung esok.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA