PRN Johor: Empat Fokus Jadi Keutamaan Guna Balakrishnan Jika Menang DUN Layang-layang
KLUANG, 6 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Guna Balakrishnan menggariskan empat fokus utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Empat keutamaan itu ialah meningkatkan kemudahan lampu jalan, memperkukuh liputan Internet dan telekomunikasi, menangani gangguan binatang liar serta membanteras kegiatan kecurian buah kelapa sawit yang disifatkan antara isu paling kerap dibangkitkan penduduk sepanjang berkempen.
Beliau berkata bagi isu lampu jalan, sasaran awalnya ialah menyelesaikan antara 50 hingga 60 peratus aduan dalam tempoh 100 hari pertama.
“Bagi isu Internet dan telekomunikasi, kita percaya perkara ini boleh diselesaikan dalam tempoh 100 hari kerana infrastruktur seperti feeders sudah tersedia, hanya perlu menambah pemancar (transmitter) di kawasan-kawasan tertentu,” katanya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Utama PH DUN Layang-Layang di sini.
Selain itu, Guna berkata beliau akan memberikan perhatian segera terhadap isu gangguan binatang liar yang menjejaskan penduduk di beberapa kawasan serta menangani kegiatan kecurian kelapa sawit selepas menerima banyak aduan sepanjang sesi turun padang.
Semalam, Guna membentangkan manifestonya bagi DUN Layang-Layang merangkumi agenda pembangunan holistik termasuk penyelesaian isu banjir, menaik taraf infrastruktur jalan raya dan lampu jalan, serta memperkasakan akses digital dan liputan Internet.
Manifesto itu turut memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan melalui sokongan program keusahawanan wanita, peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk belia, serta penjagaan kebajikan warga emas menerusi penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
DUN Layang-Layang yang mempunyai 25,181 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Guna, calon Barisan Nasional (BN) Chua Jian Boon dan penyandang kerusi berkenaan Abd Mutalip Abd Rahim mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada esok.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N27: LAYANG-LAYANG - 25,181 pengundi
1. Guna Balakrishnan (PH-PKR)
2. Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu)
3. Chua Jian Boon (BN-MCA)
(2022: Abd Mutalip Abd Rahim: BN-UMNO: Maj. 2,815)
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Kempen Secara Berpada-pada, Elak Serangan Peribadi - Mohamad Hasan
- 17 Pelajar Malaysia Rangkul 22 Pingat Di Koala Excellence Olympiad 2026
- Pendigitalan Kewangan Perkukuh Agenda Keselamatan Makanan Malaysia
- MyAgriStats 2024: Kelapa, Nanas Dan Durian Terajui Aktiviti Pertanian Tiga Daerah Di Semenanjung
- Polis Tahan Tiga Lelaki, Tumpaskan Geng Samun Di Manjung