05/07/2026 01:41 PM

Angka Korban Gempa Bumi Di Venezuela Meningkat Kepada 2,954 Orang

ISTANBUL, 5 Julai (Bernama-Anadolu) -- Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda utara Venezuela bulan lepas meningkat kepada 2,954 orang, manakala 16,592 yang lain cedera, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Komunikasi dan Penerangan negara itu pada Sabtu.

Menurut kementerian itu, seramai 6,462 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini susulan gempa bumi yang menjejaskan 856 bangunan, dengan 190 daripadanya runtuh.

Kementerian itu memaklumkan seramai 3,281 anggota penyelamat antarabangsa telah dikerahkan ke kawasan terjejas gempa bumi, manakala Caracas menempatkan seramai 29,567 anggota bagi melaksanakan operasi bantuan.

Pasukan penyelamat masih ditempatkan di kawasan yang paling teruk terjejas bagi memastikan keselamatan orang ramai serta menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula yang sedang dijalankan.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pada 24 Jun, dua gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda negara Amerika Selatan itu dalam tempoh selang 39 saat.

Kementerian itu memaklumkan bahawa sebanyak 942 gempa susulan telah direkodkan setakat ini.

-- BERNAMA-ANADOLU