Buah Gelugur Jana Pendapatan Tambahan Kepada Pesara
Oleh Mohd Taha Yaacob
JERTIH, 5 Julai (Bernama) -- Musim buah gelugur yang bermula dari April hingga Ogos setiap tahun bukan sahaja dinantikan penggemar asam keping, malah turut menjadi sumber rezeki tambahan kepada seorang pesara Majlis Daerah Besut (MDB), yang meneruskan legasi keluarga mengusahakan asam keping.
Mohd Peraaid Yunuh, 63, berkata dia dan isterinya, Tuan Norizan Tuan Mamat, 57, sentiasa menantikan musim pokok gelugur berbuah kerana sebatang pokok itu mampu menjana pendapatan lebih RM1,500 bagi keluarganya pada setiap musim.
Pokok gelugur yang berusia kira-kira 40 tahun itu ditanam oleh arwah bapa mentuanya di bahagian belakang rumah di Kampung Paroh, di sini.
"Selepas bapa mentua saya meninggal dunia pada 2012, kami meneruskan usaha menghasilkan asam keping untuk dijual kepada pemborong serta penduduk sekitar," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.
Mohd Peraaid berkata pokok itu masih mengeluarkan hasil yang agak lebat setiap tahun dan buah yang masak berwarna kekuningan akan gugur sendiri, selain boleh dijolok bagi mendapatkan buah yang berkualiti.
Dalam pada itu, dia berkata proses menghasilkan asam keping memerlukan ketelitian kerana buah perlu dipotong nipis terlebih dahulu sebelum segera dijemur di bawah cahaya matahari yang terik.
"Jika cuaca baik, hirisan buah akan kering sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga hari. Namun, jika proses pengeringan terganggu akibat hujan atau cuaca mendung, hirisan buah mudah berkulat dan tidak lagi sesuai digunakan," katanya.
Mohd Peraaid berkata permintaan terhadap asam keping sentiasa tinggi, malah ramai pelanggan datang terus ke rumahnya untuk mendapatkannya pada harga RM22 sekilogram.
Beliau berkata harga asam keping yang dijualnya jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa yang kebanyakannya melebihi RM30 sekilogram.
"Buah gelugur merupakan pencukup rasa semula jadi yang lazim digunakan dalam masakan berkuah dan goreng oleh kebanyakan penduduk.
"Selain sebagai penyedap masakan, asam keping juga digunakan sejak turun-temurun sebagai rawatan alternatif bagi membantu mengurangkan pening kepala, kelesuan dan masalah kesihatan berkaitan tekanan darah," katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Laporan Siasatan Letupan Bom Di Kem Hobart Dijangka Siap Pertengahan Julai
- Lepasan Sekolah, Belia Paling Terdedah Kepada Penyalahgunaan Dadah
- Malaysia-Singapura Sasar Lancar Sistem Imigresen Digital Januari Depan - Anwar
- Ribut Petir Dan Hujan Lebat Diramal Di KL, Putrajaya Serta Lapan Negeri
- DAP Tidak Pernah Pertikai Hak Melayu, Kerajaan Adil Pada Semua Kaum - PM Anwar