04/07/2026 11:06 PM

Agrobank Terima Permohonan Pembiayaan Lebih RM8 Juta Daripada Peniaga Pasar Malam Api-Api

KOTA KINABALU, 4 Julai (Bernama) -- Agrobank menerima permohonan pembiayaan melebihi RM8 juta daripada peniaga Pasar Malam Api-Api, Jalan Gaya di sini susulan pendekatan turun padang bagi memperluas akses kewangan kepada penjaja dan usahawan mikro di Sabah.

Agrobank dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sesi libat urus di pasar malam berkenaan memberi tumpuan kepada usaha untuk mendekati peniaga dan penjaja secara langsung.

Langkah itu bagi mengenal pasti keperluan pembiayaan bersesuaian khususnya untuk menyokong modal pusingan dan pengembangan perniagaan.

Menurut Agrobank, inisiatif berkenaan turut diperluas ke Pasar Tani Tamu Papar sebagai kesinambungan siri libat urus Agrobank di beberapa pasar tani sekitar Lembah Klang sebelum ini sekali gus menandakan langkah penting memperluas jangkauan inisiatif itu ke Borneo.

Pasar Malam Api-Api melibatkan 153 usahawan penjaja manakala Pasar Tani Tamu Papar pula membabitkan 95 usahawan penjaja dengan pemilihan kedua-dua lokasi mengambil kira peranan pasar malam dan pasar tani sebagai nadi ekonomi setempat.

Turut bersama meninjau sesi libat urus berkenaan ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, peluasan sesi libat urus ke Sabah mencerminkan komitmen Agrobank untuk memastikan manfaat inisiatif kewangan tidak hanya tertumpu di pusat bandar semata-mata.

Sebaliknya, katanya, libat urus berkenaan turut menjangkau komuniti peniaga kecil di seluruh negara.

“Selepas pelaksanaan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, kehadiran Agrobank di Sabah merupakan langkah penting untuk memahami keperluan peniaga kecil di Borneo dengan lebih dekat.

“Setiap komuniti perniagaan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza, justeru pendekatan turun padang membolehkan kami memberi penerangan serta sokongan yang lebih bersesuaian dengan realiti perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata Agrobank mahu memastikan penjaja dan usahawan mikro mempunyai akses lebih mudah kepada modal, khidmat nasihat kewangan serta sokongan bukan kewangan yang dapat membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun dan mampan.

Agrobank memaklumkan sesi libat urus itu juga selaras dengan mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agensi kewangan untuk turun padang bagi mempercepat penyaluran modal RM5 bilion kepada peniaga kecil.

-- BERNAMA