Pemandu Maut Lori Terjunam Ke Dalam Gaung Di Pos Blau-Lojing
GUA MUSANG, 4 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan yang dipandu terjunam ke gaung sedalam kira-kira 150 kaki berhampiran Jambatan Pos Blau-Lojing di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.58 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dikerah ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi pada 1.59 tengah hari, pasukan itu mendapati lori berkenaan telah terjatuh ke dalam gaung berhampiran kawasan kebun, dan maklumat awal daripada polis mendapati mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, tersepit di bawah sebatang pokok,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk mengalihkan batang pokok yang menghempap mangsa sebelum berjaya mengeluarkannya.
Muhammad Azrul Izzham berkata bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Ibu Dua Kanak-kanak Keluar Kepala Melalui "Sunroof" Ditahan
- Pembangunan Perlu Seimbang Di Johor - Anwar
- Polis Tahan 3 Lelaki Indonesia Disyaki Seludup Lebih 70,000 Kotak Minuman Keras
- Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Pan Borneo
- FKRK 2026 : Kelantan Terus Pelihara Warisan Seni Budaya Selari Tuntutan Syariat Islam