04/07/2026 05:02 PM

Kajian Penerokaan Minyak, Gas Di Sarawak Siap Akhir Tahun - Awang Tengah

LAWAS, 4 Julai (Bernama) -- Kajian terperinci bagi mengenal pasti potensi sumber gas asli dan hidrogen semula jadi di beberapa kawasan di Sarawak dijangka siap menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata kajian dilaksanakan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) itu juga melibatkan lokasi penemuan gas metana di Kampung Datuk, Kuala Lawas pada Jun lepas.

“Kita belum lagi mendapat laporan lengkap tetapi Petros telah diberi lesen untuk menjalankan kajian penerokaan minyak dan gas.

“Mudah-mudahan ada hasil yang positif. Kita berharap terdapat rizab yang stabil supaya industri ini dapat dibangunkan dan menjadi pencetus perubahan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Irau Aco Lun Bawang kali ke-39 di Taman Awam Lawas di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari itu berkata penemuan gas metana di Kampung Datuk berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan industri tenaga di utara Sarawak sekiranya kajian dijalankan mengesahkan kewujudan rizab mencukupi.

Beliau berkata potensi sumber gas itu juga boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan berkenaan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sebelum ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata kerajaan negeri menerusi Petros akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti potensi sumber gas asli dan hidrogen semula jadi yang dipercayai wujud di beberapa kawasan iaitu Gedong, Dalat dan Lawas.

Beliau berkata penemuan awal menunjukkan terdapat petunjuk kewujudan sumber tenaga berkenaan, namun penyelidikan saintifik perlu dilaksanakan bagi menentukan jumlah sebenar rizab serta sama ada ia mempunyai potensi dibangunkan secara komersial pada masa hadapan.

Pada 10 Jun lepas, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan gas mudah terbakar jenis metana dikesan di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pantai Utara di Kampung Datuk, Kuala Lawas.

-- BERNAMA