04/07/2026 04:15 PM

Penggiat Ekonomi Kreatif Gesa Semakan Semula Cukai Hiburan

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Penggiat industri kreatif dan pelancongan hari ini menggesa kerajaan agar mengkaji semula cukai hiburan dan membangunkan pelan hala tuju yang jelas dalam usaha memansuhkan sepenuhnya cukai itu dan seterusnya mengurangkan beban pengguna.

Diketuai oleh Industries Unite, gesaan itu disepakati Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE); Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA); Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-Belah Malaysia (PPKM); Persatuan Pengusaha Pawagam Malaysia (MAFE); Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan); MyFashionChamber; dan Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini,  jurucakap Industries Unite Datuk David Gurupatham berkata sekiranya pemansuhan serta-merta tidak dapat dilaksanakan, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara termasuk mengurangkan kadar cukai, memperluaskan pengecualian, memperjelaskan pengelasan serta menyelaraskan pelaksanaannya di semua bidang kuasa.

Beliau berkata duti hiburan, yang lebih dikenali sebagai cukai hiburan, diperkenalkan pada 1953 ketika landskap ekonomi dan sosial amat berbeza, iaitu sewaktu hiburan dianggap sebagai suatu kemewahan, namun kini tidak lagi.

Sebaliknya kata beliau, hiburan, pelancongan, budaya dan pengalaman kreatif merupakan sebahagian daripada kehidupan serta kesejahteraan komuniti, dan pemansuhan cukai itu akan menjadikannya lebih mampu dinikmati rakyat dan seterusnya dapat membantu industri bertumbuh secara lebih mampan.

David berkata kadar cukai hiburan dalam sesetengah keadaan boleh mencecah hingga 25 peratus, sekali gus meningkatkan kos yang perlu ditanggung rakyat biasa, sama ada secara langsung atau tidak langsung menerusi harga tiket yang lebih tinggi.


Gambar Hiasan (Ai generated image)

"Harga tiket yang lebih rendah akan menggalakkan lebih ramai orang menyertai aktiviti hiburan, kebudayaan, pelancongan, taman tema dan rekreasi. Pada masa sama, peningkatan jumlah pengunjung akan merangsang perbelanjaan di hotel, premis makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, perniagaan runcit serta sektor lain yang mendapat manfaat daripada kehadiran pelawat," katanya.

Selain itu, pengurangan atau pemansuhan cukai tersebut juga berpotensi mewujudkan kesan pengganda ekonomi yang positif apabila peningkatan perbelanjaan pengguna, pertambahan jumlah pelawat dan aktiviti perniagaan menghasilkan pendapatan, peluang pekerjaan serta hasil cukai tambahan merentasi pelbagai sektor ekonomi.

Mengakui cukai hiburan telah sekian lama menjadi sumber hasil kerajaan, gabungan itu bagaimanapun menegaskan sudah tiba masa pembaharuan dimulakan kerana rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak pengalaman riadah keluarga yang mampu dinikmati, selain mengukuhkan lagi sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi kreatif.

Industries Unite berkata cukai tersebut juga semakin tidak selari dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan ekonomi kreatif yang berdaya saing di peringkat global serta muncul sebagai destinasi pelancongan utama.

Katanya ini kerana Malaysia perlu bersaing dengan negara lain sedangkan banyak destinasi utama termasuk Singapura, Hong Kong dan Australia telah lama memansuhkan cukai hiburan khusus sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor kebudayaan, pelancongan dan industri kreatif masing-masing.

"Rangka kerja yang lebih berdaya saing akan meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menarik produksi antarabangsa, artis bertaraf dunia, acara berskala besar serta pelaburan sektor swasta, di samping menyokong pembangunan industri kreatif tempatan," katanya.

-- BERNAMA