04/07/2026 03:51 PM

MAIPs Peruntuk Lebih RM337,000 Bantu 281 Pelajar Tingkatan Enam

KANGAR, 4 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM337,200 untuk membantu 281 pelajar prauniversiti (tingkatan enam) daripada sembilan sekolah di Perlis dalam usaha meringankan beban mereka mempersiapkan diri menuntut ilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan hari ini berkata setiap pelajar menerima sumbangan tunai RM1,200.

“​Menurut pecahan data agihan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi mencatatkan jumlah penerima tertinggi, iaitu RM97,200 bagi 81 pelajar, SMK Tengku Suleiman (RM79,200, 66 pelajar) dan ​SMK Syed Sirajuddin (RM43,200, 36 pelajar).

“Selain itu, ​SMK Putra (RM36,000, 30 pelajar), SMK (A) Arau (RM27,600, 23 pelajar), SMK Agama (P) Alawiyah Kangar (RM26,400, 22 pelajar), SMK Derma (RM12,000, 10 pelajar), SMK Perlis (RM9,600, lapan pelajar) dan SMK Syed Hassan (RM6,000, lima pelajar),” katanya.

Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Serta-Merta MAIPs Untuk Pelajar Tingkatan Enam Tahun 2026 Sekolah-Sekolah di Perlis itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil semalam.

Beliau berkata inisiatif MAIPs itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa agama negeri dalam menyokong agenda pendidikan dan memastikan kebajikan anak Perlis sentiasa diutamakan demi masa depan lebih gemilang.

-- BERNAMA