04/07/2026 03:25 PM

PRN Johor: Calon PH Sasar Yong Peng Bukan Lagi Sekadar Pekan Persinggahan

BATU PAHAT, 4 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Yong Hui Yi berhasrat mengubah imej Yong Peng daripada sekadar pekan persinggahan di laluan Lebuhraya Utara–Selatan kepada hab pertumbuhan ekonomi di Johor tengah yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk setempat.

Yong, 31, berkata kedudukan strategik Yong Peng di tengah-tengah Johor ialah kelebihan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, meskipun ribuan kenderaan melalui kawasan itu setiap hari.

Beliau berkata limpahan trafik itu sepatutnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang memberikan manfaat kepada peniaga kecil, usahawan tempatan dan golongan belia, bukannya sekadar menjadi laluan keluar masuk pengguna lebuh raya.

“Jika Yong Peng dibangunkan sebagai hab pengangkutan dan logistik, kita perlu wujudkan ekosistem sokongan seperti gerai makanan, bengkel, kedai runcit, perkhidmatan kenderaan, inap desa serta peluang perniagaan kecil di kawasan sekitar,” katanya kepada Bernama.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu berkata antara cadangan yang akan diketengahkan ialah mewujudkan konsep “Rumah Pemandu”, iaitu kawasan rehat yang lebih tersusun untuk pemandu lori dan kenderaan jarak jauh, yang bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada pengguna lebuh raya, tetapi juga mampu merancakkan ekonomi setempat.

Yong berkata potensi Yong Peng tidak terhad kepada sektor logistik semata-mata, sebaliknya turut meliputi pertanian moden, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rantaian bekalan yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata pembangunan ekonomi itu juga perlu disokong dengan lebih banyak latihan kemahiran, kerjasama dengan agensi kerajaan dan penyelarasan dengan syarikat atau pelabur yang sesuai supaya anak muda tempatan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Kita tidak boleh menghalang anak muda mencari peluang di tempat lain, tetapi kita mesti berusaha menjadikan Yong Peng sebagai tempat yang mempunyai masa depan untuk mereka,” katanya.

Yong berkata projek pembangunan berskala besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura perlu dimanfaatkan supaya kawasan separa bandar seperti Yong Peng tidak tercicir daripada menikmati limpahan pembangunan.

“Apabila JS–SEZ berkembang, keperluan terhadap logistik, bekalan makanan, pertanian moden, perkhidmatan sokongan dan industri kecil serta sederhana akan meningkat. Yong Peng mempunyai potensi untuk menjadi hab sokongan kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Mengulas maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata peluang pekerjaan untuk golongan muda, kos sara hidup, kemudahan awam dan isu kebersihan termasuk masalah lalat dan bau antara perkara yang paling kerap dibangkitkan penduduk.

Sehubungan dengan itu, Yong berkata tiga keutamaan yang akan diperjuangkan sekiranya diberi mandat ialah memperkukuh khidmat kepada rakyat, memetakan keperluan penduduk dan memperjuangkan agenda pembangunan ekonomi bagi memastikan Yong Peng menjadi sebahagian daripada perancangan logistik, pertanian moden dan rantaian bekalan.

Walaupun menyedari cabaran sebagai calon muda, beliau berkata pengalaman berkhidmat bersama-sama Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi banyak memberikan pendedahan tentang cara menangani isu rakyat dan menyalurkannya kepada agensi berkaitan untuk tindakan.

Pada PRN Johor kali ini, Yong dicabar penyandang DUN Yong Peng, Ling Tian Soon daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N19: YONG PENG - 34,023 pengundi

1. Ling Tian Soon (BN-MCA)

2. Yong Hui Yi (PH-DAP)

(2022: Ling Tian Soon: BN-MCA: Maj. 2,741)