04/07/2026 02:28 PM

Pakai Jaket Keselamatan Sepanjang Masa Semasa Aktiviti Air - Exco

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu menasihatkan semua peserta aktiviti mencandat sotong supaya memakai jaket keselamatan sepanjang masa berada di bot selain taklimat keselamatan perlu diberi sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan risiko kemalangan di laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata pemakaian jaket keselamatan tidak seharusnya diabaikan walaupun semasa berehat atau tidur dan wajib untuk semua aktiviti air.

“Setiap bot yang membawa penumpang mesti dilengkapi jaket keselamatan, alat pemadam api dan semua peralatan keselamatan yang diperlukan kerana ini melibatkan nyawa. Tidak kira sama ada kru atau penumpang, semua wajib memakai jaket keselamatan sepanjang masa.

“Ini bukan hanya untuk aktiviti mencandat sotong, tetapi semua aktiviti air. Jaket keselamatan perlu dipakai dengan betul dan tidak ditanggalkan sehingga semua selamat tiba di jeti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Razali berkata tekong bot disaran memberikan penerangan ringkas mengenai prosedur keselamatan, keadaan laut dan cara memakai jaket keselamatan dengan betul sebelum bot bertolak dari jeti atau pangkalan.

“Amalan ini wajar dilaksanakan seperti kelaziman bot pelancong yang membawa penumpang ke pulau. Tekong lebih mengetahui keadaan sebenar laut dan sebab itu mereka perlu memberi penerangan kepada penumpang sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Razali juga mengingatkan pengusaha dan peserta mencandat sotong supaya mematuhi sebarang amaran yang dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia termasuk tidak meneruskan perjalanan sekiranya bot dilarang keluar ke laut akibat keadaan cuaca.

Beliau berkata peserta perlu mematuhi nasihat tekong dan tidak memaksa mereka meneruskan perjalanan kerana kebanyakan tekong di Terengganu bertanggungjawab dan sanggup memulangkan bayaran pelanggan jika tidak dapat meneruskan perjalanan atas faktor keselamatan.

Berhubung kejadian bot membawa peserta mencandat sotong karam malam tadi, Razali berkata bot itu difahamkan berada dalam keadaan baik serta dikendalikan oleh tekong berpengalaman dan semua penumpang memakai jaket keselamatan. 

“Keadaan ketika itu laut bergelora, namun tiada ribut. Difahamkan air masuk dalam jumlah banyak ke dalam enjin sehingga bot karam namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya. 

Razali berkata kerajaan negeri tidak bercadang mengubah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi aktiviti mencandat sotong kerana garis panduan sedia ada mencukupi selain aktiviti tersebut telah lama diadakan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor mengesahkan seorang maut, tiga cedera manakala lapan selamat dalam kejadian bot mencandat sotong karam pada jarak kira-kira sembilan batu nautika dari Dataran Kuala Nerus pada kira-kira 9 malam tadi.

-- BERNAMA