Manifesto PH Tawar Internet Gigabit Selari Dengan Usaha Kementerian Komunikasi - Teo
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menawarkan Internet Gigabit dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk semua sekolah di negeri berkenaan menjelang 2030 dilihat selari dengan usaha berterusan Kementerian Komunikasi dalam memperkasakan capaian Internet, khususnya di luar bandar.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata hasrat berkenaan mampu dicapai menerusi sinergi erat melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.
“Saya rasa ini adalah satu kerjasama yang baik antara Kementerian Komunikasi bersama dengan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri... saya percaya dengan kerjasama yang baik antara ketiga-tiga pihak, ia boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Harapan di sini hari ini.
Ditanya mengenai peranan kementerian dalam menjayakan tawaran itu, beliau berkata pelbagai inisiatif sedia ada telah pun digerakkan bagi merapatkan jurang digital di premis pendidikan luar bandar antaranya titik kehadiran (PoP).
Teo berkata Kementerian Komunikasi komited dalam memastikan fasiliti digital sekolah di pedalaman terus dinaik taraf menerusi program berimpak tinggi yang telah lama diperkenal.
“Sebenarnya, untuk kementerian kami memang sudah ada projek PoP... kita bantu sekolah di luar kawasan bandar, di pedalaman supaya mereka mempunyai akses kepada Internet, kelajuannya tidak kurang daripada 100 megabait sesaat... jadi, program itu sudah lama dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, PH melancarkan Manifesto PRN Johor dengan tema "Johor Untuk Semua" yang menggariskan 10 tawaran utama merangkumi agenda kesihatan, perumahan, keusahawanan, pendidikan, pertanian, pengangkutan dan pekerjaan.
Antaranya ialah akses kepada Internet Gigabit dan AI selain makmal AI serta robotik di semua daerah menjelang 2030, dengan penglibatan 50,000 pelajar setiap tahun.
Selain itu, perpustakaan digital dan pusat pembelajaran moden juga akan diwujudkan di setiap daerah menerusi kerjasama strategik antara sekolah, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institut pengajian tinggi serta industri.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Johor Sentiasa Jadi Keutamaan Kerajaan Persekutuan - Ramanan
- PRN: Manifesto PH Idea Asli Pimpinan - Amirudin
- PRN Johor: MCMC Buka Pusat Aduan Komunikasi Dan Multimedia
- Pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar Kini Dalam Proses Pemilikan Tanah - Yuneswaran
- Thailand Sampaikan Pampasan Kepada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Tak Bai