02/07/2026 07:15 PM

Reaktor TRIGA PUSPATI : 44 Tahun Pacu Kecemerlangan Teknologi Nuklear Negara 

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) kekal sebagai satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear negara dan menjadi simbol keupayaan Malaysia dalam menguasai teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab sepanjang 44 tahun beroperasi.

Menurut kenyataan Agensi Nuklear Malaysia hari ini, infrastruktur strategik itu melakar sejarah apabila mula beroperasi secara rasmi pada 28 Jun 1982 dan menjadi titik permulaan kepada perkembangan sains, teknologi dan inovasi nuklear tempatan dengan rekod keselamatan yang cemerlang.

Menurut kenyataan itu, RTP bukan sekadar fasiliti penyelidikan malah pemacu utama dalam pembangunan modal insan, penyelidikan berimpak tinggi serta penghasilan pakar tempatan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

"Sepanjang lebih empat dekad, RTP telah menyokong pelbagai sektor penting termasuk pendidikan dengan melahirkan ribuan saintis, jurutera dan penyelidik, selain sektor kesihatan menerusi penghasilan radioisotop bagi penyelidikan dan aplikasi perubatan nuklear termasuk diagnosis dan terapi radionuklid bersasar.

"Teknologi ini turut diperluas dalam sektor industri, pertanian dan alam sekitar antaranya analisis bahan, radiografi neutron, penyelidikan hidrologi, pengujian tanpa musnah (NDT), keselamatan makanan, pengesanan pencemaran alam sekitar serta pembangunan teknologi pertanian yang lebih maju," menurut kenyataan itu.

Agensi Nuklear Malaysia turut memaklumkan, RTP kini terus diperkasakan melalui pelaksanaan program antaranya pengurusan penuaan, pemantauan keselamatan sinaran secara digital serta pengukuhan keselamatan fizikal dan siber bagi memastikan ia terus relevan sebagai aset strategik negara bagi dekad akan datang.

Menurut agensi itu, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dalam membina ekosistem teknologi nuklear berdaya saing, selamat, inovatif dan mampan.

"RTP menjadi infrastruktur kritikal dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara untuk meneroka teknologi nuklear baharu, memperluas kerjasama penyelidikan dan meningkatkan keupayaan nasional dalam bidang sains dan teknologi nuklear.

“RTP akan terus memperluas penyelidikan dalam bidang strategik, membangunkan bakat tempatan dan menyokong aspirasi negara dalam pembangunan teknologi nuklear, termasuk persediaan ke arah reaktor penyelidikan generasi baharu dan sebarang kemungkinan pelaksanaan program tenaga nuklear negara pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Agensi itu turut menekankan komitmen berkenaan yang selari dengan hala tuju Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memperkukuh kapasiti negara dalam bidang sains dan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Sebagai agensi peneraju, Agensi Nuklear Malaysia kekal komited memastikan RTP terus menjadi nadi inovasi dan penyelidikan (R&D) bagi merealisasikan matlamat DTNN 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.

-- BERNAMA