02/07/2026 05:45 PM

Prudential Lancar Guided Care, Permudah Akses Penjagaan Kesihatan

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) memperkenalkan Prudential Guided Care bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan akses penjagaan kesihatan dengan lebih mudah, jelas dan meyakinkan. 

PAMB dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu yang merupakan rangkaian perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan disediakan kepada pelanggan yang mempunyai perlindungan perubatan bagi membantu mereka mendapatkan akses tepat pada masanya dengan rawatan yang sesuai.

Menurut kenyataan itu, pengenalan inisiatif berkenaan dibuat ketika kebimbangan terhadap akses kepada penjagaan kesihatan yang semakin meningkat termasuk ketidakpastian orang ramai mengenai tempat mendapatkan rawatan.

“Dapatan daripada laporan Patient Voices Malaysia¹ oleh Prudential, menunjukkan 94 peratus rakyat Malaysia pernah menangguhkan rawatan perubatan dengan 54 peratus menyatakan ketidakpastian tempat mendapatkan rawatan dan kebimbangan mengenai kemampuan kewangan sebagai antara halangan utama,” menurut PAMB. 

Menyedari jurang yang wujud, Prudential Guided Care menawarkan lebih daripada sekadar perlindungan perubatan konvensional dengan membimbing dan menyokong pelanggan pada setiap peringkat perjalanan penjagaan kesihatan mereka daripada konsultasi awal hingga proses pemulihan.

PAMB memaklumkan insiatif itu merangkumi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk memudahkan dan mempertingkat pengalaman penjagaan kesihataan pelanggan, antaranya, Khidmat Concierge Penjagaan Kesihatan yang menyediakan akses 24 jam kepada pakar berserta sokongan tempahan janji temu. 

“(Untuk) Perkhidmatan Pengurusan Kes, menyediakan sokongan khusus melalui pengurusan kes oleh pakar serta akses kepada pendapat perubatan kedua, memberikan pelanggan kejelasan yang lebih baik daripada peringkat diagnosis hingga ke pemulihan.

“Program Penjagaan Di Rumah pula, menawarkan penjagaan profesional dan sokongan pemulihan di rumah atau di pusat penjagaan khusus bagi memberikan keselesaan dan keyakinan yang lebih baik sepanjang proses pemulihan,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan semua perkhidmatan berkenaan turut dilengkapi dengan ciri tambahan seperti PRUPanel Plus, Manfaat Tiada Tuntutan, manfaat pembedahan harian serta sokongan rawatan terkini bagi membentuk ekosistem penjagaan kesihatan lebih menyeluruh untuk pelanggan dengan pelan perubatan Prudential.

Ketua Pegawai Perubatan PAMB Manisha Keyal berkata penjagaan kesihatan tidak seharusnya menjadi sesuatu yang mengelirukan atau membimbangkan, terutamanya ketika seseorang paling memerlukan sokongan.

“Dengan Prudential Guided Care, kami di sini menyokong anda apabila anda memerlukan penjagaan kesihatan dengan kejelasan yang lebih baik, keyakinan serta penjagaan berkualiti yang melangkaui sekadar perlindungan. Kerana kekayaan sebenar ialah apabila kesihatan menyebelahi anda," katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA