Malaysia Beri Jaminan Kepada Belgium, Akses Laut China Selatan Kekal Terbuka - TPM Fadillah
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia memberi jaminan kepada Belgium bahawa akses maritim melalui Laut China Selatan akan kekal terbuka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN komited untuk mengekalkan keamanan, dasar berkecuali dan akses terbuka di rantau ini walaupun terdapat kebimbangan berhubung gangguan perkapalan global.
Fadillah menyampaikan hal itu dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri Belgium Maxime Prevot yang juga Menteri Luar Negeri, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan.
“Jadi kita memberi jaminan tadi setakat yang melibatkan ASEAN, kita jamin bahawa akses terbuka itu tidak akan berlaku apa-apa sekatan sebab kita memang sebuah negara yang menjamin keselamatan, berkecuali, dan juga keamanan.
“Itulah prinsip yang dipegang oleh negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menghoskan majlis makan tengah hari untuk Prevot dan delegasi Belgium di sini, Khamis.
Beliau berkata Prevot meminta penilaian Malaysia mengenai situasi keselamatan serantau termasuk di Laut China Selatan dan kemungkinan gangguan yang sama berlaku seperti di Selat Hormuz.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kedua-dua pihak berbincang tentang mengukuhkan hubungan Malaysia-Belgium dengan memperluas kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan rakyat.
Beliau berkata Prevot turut menyatakan komitmen Belgium untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan akan menyemak semula nasihat perjalanan negaranya untuk Sabah.
Kedua-dua pemimpin itu juga bertukar pandangan berhubung ekosistem halal Malaysia, dengan Belgium mencadangkan supaya piawaian halal Malaysia diterokai dengan model yang boleh diterima pakai secara lebih meluas dalam Kesatuan Eropah.
Fadillah menambah kedua-dua negara turut membincangkan peluang untuk memperdalam kerjasama dalam peralihan tenaga, khususnya menerusi kepakaran Belgium dalam teknologi baharu dan bahan termaju, sambil menggalakkan pelaburan lebih besar syarikat Belgium di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Belgium ke Malaysia Peter Van Acker turut hadir pada majlis makan tengah hari itu.
Prevot tiba di Malaysia pada Khamis untuk lawatan kerja dua hari, yang pertama ke negara ini sejak beliau memegang jawatan pada Februari 2025.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Prudential Lancar Guided Care, Permudah Akses Penjagaan Kesihatan
- Anwar Zahir Permohonan Maaf, Tidak Hadir Majlis Penghormatan Terakhir Khamenei
- BN Teruskan Kempen Berhemah, Jangan Layan Serangan Peribadi - Khairy
- Melaka Peruntuk Lebih RM45 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
- TLDM Nilai Sistem Peluru Berpandu Ganti NSM Untuk LCS