Abang Didakwa Rogol, Lakukan Amang Seksual Fizikal Ke Atas Adik Kandung
KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya yang berusia 16 tahun pada Januari dan Jun lepas.
Tertuduh yang berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, pekerja kedai perkakasan itu didakwa merogol adik kandungnya yang perhubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama atau adat untuk berkahwin.
​Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 11 malam di Kampung Titian Baru, di sini pada Januari lepas.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai abang kandung didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama pada kira-kira 9 malam, 21 Jun lepas di lokasi sama.
Perbuatan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asymawi Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Prudential Lancar Guided Care, Permudah Akses Penjagaan Kesihatan
- Anwar Zahir Permohonan Maaf, Tidak Hadir Majlis Penghormatan Terakhir Khamenei
- BN Teruskan Kempen Berhemah, Jangan Layan Serangan Peribadi - Khairy
- Melaka Peruntuk Lebih RM45 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
- TLDM Nilai Sistem Peluru Berpandu Ganti NSM Untuk LCS