02/07/2026 04:04 PM

Dua Kelindan Lori Ais Antara Empat Ditahan Positif Dadah

BALING, 2 Julai (Bernama) -- Dua kelindan lori ais antara empat yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Kuala Ketil dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Stien Van Lutam berkata kedua-dua kelindan tersebut yang berusia 33 tahun dan dua pemandu van kilang masing-masing berusia 32 serta 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua yang ditahan masih dalam siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Beliau berkata kebanyakan alasan pemandu yang dikesan positif dadah ialah mereka mengambil bahan terlarang itu bagi tujuan mengekalkan tenaga untuk melalui tempoh pemanduan yang lama.

"Bagi kita, itu bukan alasan, mereka sudah tahu skop kerjanya sebegitu dan persediaan untuk pemandu itu perlu sebelum memulakan perjalanan, mereka perlu kekal sihat.

"Jika mengambil barang terlarang ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga untuk pengguna jalan raya yang lain," kata Van Lutam.

Sementara itu, beliau berkata JPJ Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta PLUS Malaysia Berhad, melaksanakan operasi tersebut bermula semalam di lokasi strategik seperti kawasan Rehat dan Rawat (RnR), Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ serta terminal bas.

Katanya operasi tersebut juga bertujuan memastikan pemandu kenderaan perdagangan bebas daripada penyalahgunaan dadah, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

"Operasi kali ini tertumpu pada usaha memastikan pematuhan pengguna jalan raya terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA