02/07/2026 04:12 PM

Program Pembentukan Sahsiah, Disiplin PDRM Diperluas Ke Sekolah Rendah - JPNWPKL

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Program pembentukan sahsiah dan disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini diperluas ke sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur bagi membentuk jati diri murid sejak awal persekolahan.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNWPKL) Megat Affandi Ismail berkata program itu yang sebelum ini dilaksanakan di sekolah menengah turut bertujuan mengelakkan murid terjebak dengan gejala sosial.

Beliau berkata peluasan program itu susulan impak positif kerjasama strategik antara Polis Kuala Lumpur dengan JPNWPKL, termasuk penurunan kes disiplin dan jenayah membabitkan pelajar sekolah menengah sebelum ini.

“Hasil kerjasama erat antara kedua-dua pihak sejak beberapa tahun lepas turut menyaksikan peningkatan kehadiran pelajar ke sekolah selain pengurangan kes jenayah dan disiplin.

“Alhamdulillah, dengan komitmen pihak polis (bersama-sama sekolah), kita dapat lihat kehadiran pelajar di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan dan kes jenayah melibatkan pelajar juga menunjukkan penurunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program PDRM Bersama Murid: Berpisah Tiada, Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin dan Lokasi Kesedaran Lalu Lintas di Sekolah Kebangsaan La Salle 2 Jinjang, di sini hari ini.

Megat Affandi berkata kes buli di sekolah turut menunjukkan trend penurunan hasil komitmen Polis Kuala Lumpur yang aktif turun padang termasuk ke asrama sekolah.

“Kerjasama itu memberikan kesan kepada pencapaian akademik pelajar apabila keputusan peperiksaan awam di Kuala Lumpur mencatat peningkatan memberangsangkan.

“Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini adalah yang terbaik dalam tempoh 10 tahun, manakala keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut merekodkan prestasi terbaik dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan bahawa kejayaan pendidikan tidak bergantung pada sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi penguat kuasa.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa memantau perubahan tingkah laku dan perwatakan anak-anak, terutama ketika melalui fasa krisis identiti serta mendapatkan bantuan guru kaunselor sekiranya perlu.

Dalam perkembangan lain, berhubung isu vape, beliau berkata JPNWPKL akan meneruskan pemeriksaan mengejut bersama-sama PDRM dan agensi berkaitan selain mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan.

“Untuk isu vape, kita sentiasa buat spot check. Pemantauan daripada pihak polis, agensi lain juga diadakan secara berkala … . Saya pun akan berjumpa dengan Datuk Bandar dalam masa terdekat untuk kita bincang tentang perkara ini,” katanya. 

JPNWPKL kini mempunyai lebih 200 sekolah di Kuala Lumpur dengan pemantauan dilaksanakan berdasarkan faktor sosioekonomi dan kepadatan penduduk, selain dibantu oleh Pegawai Perhubungan Sekolah yang ditempatkan mengikut keperluan kawasan berisiko. 

-- BERNAMA