Pelaksanaan Automatik BUDI Diesel Bendung Ketirisan Subsidi Di Sempadan - Fuziah
JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) secara automatik diyakini mampu membendung ketirisan subsidi diesel di sempadan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini menerima subsidi secara pukal.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pendekatan baharu itu memastikan hanya pemilik kenderaan berdaftar dalam sistem BUDI Diesel layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, sekali gus menutup ruang penyalahgunaan subsidi.
Beliau berkata sebelum ini pemilik kenderaan diesel persendirian perlu mendaftarkan kenderaan masing-masing di bawah program BUDI MADANI untuk melayakkan mereka menerima bantuan RM400 sebulan bagi menampung kos pembelian diesel.
“Di seluruh Semenanjung terdapat kira-kira 400,000 kenderaan milik individu menggunakan diesel, manakala di Sabah dan Sarawak pula sekitar 300,000 kenderaan berdaftar. Kini hanya kenderaan berdaftar di bawah sistem BUDI Diesel akan menerima subsidi pada kadar RM2.10 seliter.
“Ini secara tidak langsung akan membendung ketirisan di sempadan negara terutama di Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini ia bersifat pukal dan boleh dibeli sesiapa sahaja,” katanya selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di Bandar Dato’ Onn hari ini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo.
Fuziah berkata pelaksanaan secara automatik itu bukan sahaja mengekang ketirisan subsidi malah memastikan bantuan lebih bersasar kepada kumpulan yang benar-benar layak tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI Diesel yang bermula semalam.
Pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut MOF, pelaksanaan tersebut merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung bagi menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- BN Teruskan Kempen Berhemah, Jangan Layan Serangan Peribadi - Khairy
- Melaka Peruntuk Lebih RM45 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
- TLDM Nilai Sistem Peluru Berpandu Ganti NSM Untuk LCS
- Kerja-kerja Infrastruktur Di Taman Teknologi Pulau Pinang @ Bertam Siap Sepenuhnya
- Anwar Utus Surat Kepada Xi Jinping, Ucap Tahniah Sempena Ulang Tahun Parti Pemerintah China